
Petronas menyasarkan untuk mengekalkan pengeluaran minyak dan gas Malaysia pada kadar dua juta tong setara minyak sehari (mmboe/d) sehingga tahun 2028.
KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menyasarkan untuk mengekalkan pengeluaran minyak dan gas Malaysia pada kadar dua juta tong setara minyak sehari (mmboe/d) hingga 2028.
Presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata sasaran itu adalah bersandarkan kepada pelaburan berterusan merentasi penerokaan, pembangunan laut dalam dan peningkatan pengekstrakan daripada lapangan pengeluaran Petronas.
“Bagaimanapun untuk mengekalkannya bermakna perlu mencari cara baharu untuk bekerjasama dengan rakan kongsi dan bukan hanya bergantung pada formula lama. Pengalaman kami sendiri dengan Searah Ltd, usaha niaga serantau dengan Eni, memperlihatkan perubahan itu.
“Ia bukan sekadar perkongsian kepimpinan, tetapi juga menggabungkan modal, kepakaran teknikal dan mengambil risiko bersama untuk mengejar peluang yang mana-mana rakan kongsi pun tidak akan melakukannya secara bersendirian,” katanya semasa merasmikan Persidangan Minyak dan Gas Asia (OGA) 2026, hari ini.
Merentasi portfolionya, Tengku Muhammad Taufik berkata syarikat minyak nasional itu sedang menggunakan pendekatan yang sama melalui perkongsian, kerjasama teknikal dan struktur komersial alternatif yang disesuaikan dengan keadaan peluang individu.
Beliau berkata hasil terbaik dicapai menerusi usaha menggabungkan pengetahuan dan keupayaan sedia ada Petronas dengan rakan kongsi yang sama berkebolehannya di tengah-tengah persekitaran operasi yang semakin mencabar.
Katanya, prinsip yang sama harus melangkaui pengendali dan mencakupi keseluruhan ekosistem perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE), yang telah membina keupayaan kukuh selama empat dekad beroperasi di Malaysia.
“Kekuatan yang telah anda bina memerlukan pentas yang lebih luas berbanding pentas yang anda telah biasa bersaing,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan kejayaan di peringkat yang lebih besar memerlukan lebih daripada sekadar kecekapan teknikal dengan pemain OGSE memerlukan produktiviti yang jauh lebih tinggi, daya tahan kewangan lebih kukuh, kematangan digital yang baik dan tadbir urus yang mantap untuk dianggap sebagai rakan kongsi yang dipercayai.
“Lebih penting lagi, anda juga mesti mempunyai keyakinan untuk melabur mendahului permintaan. Adakah kita secara kolektif sudah cukup terhubung, cukup berkemampuan, cukup berdaya saing?” tanya beliau.
Tengku Muhammad Taufik berkata daya saing tidak seharusnya diukur hanya dengan keupayaan sesebuah syarikat untuk memenangi tender dalam keadaan pasaran yang menggalakkan, tetapi sama ada ia boleh kekal relevan pada dekad akan datang apabila teknologi, keperluan tenaga kerja dan landskap modal industri berubah dengan pantas.
“Bolehkah kita mengekalkan momentum pada kadar, skala dan kepakaran teknikal kita yang bukan sahaja akan diminta, tetapi juga dituntut daripada kita pada dekad akan datang?” ujarnya.
Pemain industri, katanya, perlu menerima guna alatan digital dan cara kerja baharu yang telah dianggap sebagai suatu yang biasa oleh pengendali utama di tempat lain, sambil membina daya tahan kewangan yang diperlukan untuk mendepani kemelesetan pada masa depan.
Tengku Muhammad Taufik juga menyeru syarikat OGSE Malaysia untuk meneroka melangkaui pasaran tradisional mereka dan melihat perkembangan di tempat lain sebagai peluang dan bukan sekadar cabaran atau tekanan persaingan.
Katanya, banyak perkara yang boleh dipelajari daripada syarikat tenaga dan perkhidmatan utama di seluruh Asia dan dunia, sama seperti pemain antarabangsa yang boleh belajar daripada keupayaan yang dibangunkan syarikat Malaysia di dalam negara.
Beliau berpandangan peluang dalam pemerangkapan karbon, perkapalan pelepasan karbon rendah, penerokaan di kawasan baharu, pembangunan laut dalam dan sistem tenaga digital terbuka kepada syarikat yang bersedia untuk merebutnya.
“Saya yakin syarikat Malaysia boleh menjadi antara mereka yang bersedia dan mereka yang membantu membina perkongsian yang diperlukan untuk merealisasikannya,” katanya.
Tengku Muhammad Taufik menegaskan Petronas kekal komited untuk bekerjasama dengan pemain industri bagi membina landasan yang diperlukan, membuka peluang baharu dan menyediakan ekosistem dengan keterlihatan yang lebih baik untuk membuat perancangan lebih awal.
“Tetapi semua ini hanya boleh memberi manfaat kepada anda yang berani untuk menyahut cabaran,” katanya.
Beliau menggesa pemain industri untuk membuat pelaburan dengan yakin, mengambil risiko dengan pertimbangan teliti dan menempatkan diri sebagai rakan kongsi dalam membentuk hala tuju masa depan industri.




