Warga emas didakwa tipu RM2.35 juta urusan beli rumah 

28 Aug 2026 • 2:57 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Warga emas didakwa tipu RM2.35 juta urusan beli rumah 

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu beberapa individu membabitkan kerugian RM2.35 juta berhubung urusan membeli unit-unit kondominium, sembilan tahun lalu.

Tertuduh, Tong Kah Hoe, 69, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan. 

Di hadapan Hakim, Azrul Darus, tertuduh didakwa menipu Lee Kar Keat dengan memperdaya mangsa sehingga menyerahkan wang tunai berjumlah RM1.75 juta sebelum mengeluarkan tujuh resit palsu untuk urusan mendapatkan tujuh buah rumah kondominium di Alam Damai, di sini.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Paparich Sri Petaling, Jalan Radin Bagus, Bandar Sri Petaling, di sini pada 5 Oktober dan 9 November 2018.

Selain itu, di hadapan Hakim, Norma Ismail pula, Kah Hoe didakwa telah menipu Lim Pey Pey dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tertuduh akan membantu dalam urusan mendapatkan dua unit rumah kondominium di lokasi sama sedangkan tertuduh mengetahui unit rumah tersebut tidak wujud.

Perbuatan itu didakwa mendorong wanita berkenaan menyerahkan wang tunai berjumlah RM600,000 kepada tertuduh.

Perkara itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Radin Bagus, Bandar Baru Sri Petaling di sini pada 19 September 2017.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau tidak melebihi 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir idham dan Batrisyia Mohd Khusri.

Pendakwaan mencadangkan jaminan RM150,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin namun tertuduh yang diwakili peguam bela, Reuben Ong memohon agar jaminan yang rendah diberikan kerana anak guamnya menghidap beberapa penyakit kronik dan juga seorang penganggur. 

“Tertuduh mempunyai beberapa penyakit serius seperti jantung, diabetes, penyakit buah pinggang kronik, gout dan darah tinggi dan sudah berhenti bekerja kira-kira empat tahun lalu. 

“Kini, tertuduh menanggung seorang anak buah yang merupakan pesakit kanser yang baru memasuki fasa pemulihan. Mengambil kira situasi-situasi ini, kami dengan rendah diri memohon agar jaminan ditetapkan sebanyak RM2,500,” katanya. 

Selepas mendengar hujahan, Mahkamah menetapkan RM40,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.

Kes di hadapan Hakim Azrul ditetapkan untuk sebutan pada 10 Oktober ini manakala kes di hadapan Hakim Norma menetapkan sebutan kes pada 5 Oktober ini. –UTUSAN

 

The post Warga emas didakwa tipu RM2.35 juta urusan beli rumah  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved