PETRONAS sempurnakan penghantaran bahan api penerbangan mampan campuran tempatan pertama ke KLIA untuk MAG

LocalBusiness & Finance
12 Sep 2025 • 9:28 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PETRONAS sempurnakan penghantaran bahan api penerbangan mampan campuran tempatan pertama ke KLIA untuk MAG

image is not available

12/09/2025 - 09:28

Pesawat Malaysia Airlines sedang diisi dengan bahan api penerbangan mampan (SAF) campuran tempatan pertama negara di KLIA. Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - PETRONAS menyempurnakan penghantaran bahan api penerbangan mampan (SAF) campuran pertama Malaysia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk Malaysia Aviation Group Berhad (MAG) sekali gus membuktikan keupayaannya dalam menyediakan bekalan berterusan dan boleh diperluaskan di negara ini.

Dihasilkan di kemudahan pencampuran PETRONAS, SAF yang diperakui Pensijilan Kelestarian dan Karbon Antarabangsa (ISCC) dan memenuhi keperluan bahan api CORSIA itu telah dihantar terus ke KLIA melalui saluran paip pelbagai produk milik Malaysian Refining Company (MRCSB) bagi memastikan ia tersedia melalui rantaian bekalan bersepadu.

Naib Presiden Penapisan, Pemasaran dan Perdagangan PETRONAS, Ahmad Adly Alias berkata, peranan mereka diiktiraf dalam mendorong usaha global ke arah nyahkarbon, khususnya dalam memacu aspirasi sifar bersih Malaysia sebagai pemangkin utama dalam pembangunan bahan api masa depan.

Beliau berkata, usaha penyahkarbonan industri penerbangan memerlukan laluan yang boleh dipercayai dan SAF merupakan antara rumusan segera yang tersedia pada hari ini.

“Projek perintis ini adalah pelaburan strategik jangka panjang untuk membina keupayaan dalaman melalui kemajuan teknologi dan infrastruktur, serta pembangunan bakat bagi menyediakan rumusan yang boleh dipercayai serta kos efektif kepada rakan kongsi dan pelanggan kami.

“Pencapaian ini juga meletakkan kami selangkah di hadapan dalam menyokong sasaran kerajaan untuk SAF di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sekali gus mengukuhkan komitmen PETRONAS terhadap keselamatan tenaga negara dan pertumbuhan industri,” katanya dalam satu kenyataan.

image is not available

SAF tersebut akan digunakan untuk penerbangan harian Malaysia Airlines MH2 dari Kuala Lumpur ke London pada waktu malam antara 1 hingga 16 September 2025, menandakan langkah nyata dalam mengintegrasikan SAF ke dalam operasi tetap syarikat penerbangan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan MAG, Philip See berkata, setiap penerbangan yang dikuasakan SAF membuktikan usaha penyahkarbonan penerbangan bukan sekadar aspirasi masa depan, tetapi realiti yang boleh dicapai dan ia menunjukkan tindakan praktikal dan boleh diperluaskan dalam operasi untuk mengurangkan pelepasan dengan ketara.

“Pada masa yang sama, kerjasama kukuh di seluruh industri penerbangan adalah penting bagi meningkatkan pengeluaran SAF, menjadikannya lebih tersedia, mudah dicapai dan berpatutan untuk industri. MAG berasa teruja dengan kemajuan ini dan kekal komited untuk menerajui inisiatif yang mempercepatkan penggunaan SAF, menyokong perjalanan Malaysia dan global ke arah masa depan penerbangan yang lebih hijau dan mampan," katanya.

Pencapaian itu menunjukkan kesediaan PETRONAS membuka jalan kepada bekalan SAF yang boleh diperluaskan serta kos efektif di Malaysia, disokong keupayaan hujung ke hujung daripada perolehan global dan pensijilan hingga pencampuran tempatan dan pengedaran, semuanya mematuhi piawaian kelestarian antarabangsa.

Sebagai pintu masuk utama Malaysia, infrastruktur KLIA membolehkan pertumbuhan SAF di samping menyokong industri penerbangan memenuhi keperluan CORSIA.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pengenalan SAF campuran tempatan di KLIA adalah pencapaian penting dalam perjalanan kelestarian dan pihaknya juga komited untuk mengintegrasikan pengurangan karbon dalam setiap aspek operasi lapangan terbang.

"Pencapaian KLIA memperoleh Akreditasi Karbon Lapangan Terbang Tahap 3 oleh ACI mencerminkan kemajuan yang telah dicapai dan kerjasama ini untuk membolehkan ketersediaan SAF semakin mengukuhkan peranan kami dalam menyokong syarikat penerbangan ketika mereka menyahkarbon operasi.

“Bersama rakan kongsi, kami sedang membina ekosistem yang membolehkan lapangan terbang di Malaysia berkembang secara mampan sambil menyumbang kepada aspirasi sifar bersih negara dan memastikan pintu masuk negara kekal berdaya tahan serta sedia untuk masa depan," katanya. - DagangNews.com

standard