Petros bekerjasama dengan syarikat China bangunkan hab rendah karbon di Kuching

21/05/2025 - 11:03
Gambar/Petros Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 21 Mei - Petroleum Sarawak Bhd (Petros) bekerjasama dengan China Jiangsu International Economic and Technical Cooperation Group Ltd untuk membina Hab Rendah Karbon Kuching (KLCH), yang juga antara projek utama di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR).
Melalui perjanjian itu, China Jiangsu dilantik sebagai rakan utama KLCH yang akan merangkumi zon perindustrian.
Hab tersebut bakal menarik pelabur yang menyokong usaha Sarawak menjadi peneraju dalam ekonomi rendah karbon di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petros, Datuk Janin Girie berkata, KLCH ialah usaha penting untuk menjadikan dasar rendah karbon Sarawak sebagai peluang ekonomi bagi rakyat.
"Pada masa sama, ia turut memberi manfaat kepada Malaysia dan negara-negara di Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan.
Perjanjian kerjasama strategik itu ditandatangani semalam di Kuala Lumpur.
KLCH dilancarkan secara rasmi semasa Persidangan SGR pada November 2024.
Petros, syarikat minyak dan gas milik kerajaan Sarawak, kini meluaskan bidang perniagaannya dengan menjalankan projek pengurangan karbon untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang yang mampan, sejajar dengan pembangunan KLCH.
Kerjasama berkenaan dijangka menarik pelaburan asing yang berkualiti serta membuka peluang pekerjaan bergaji tinggi di Sarawak.
China Jiangsu International adalah syarikat milik kerajaan China yang berpusat di Jiangsu dan berpengalaman dalam projek besar kemudahan dan perindustrian di Asia, Afrika dan kawasan lain.
Kerjasama itu juga menyokong usaha Sarawak untuk mendapatkan kepakaran antarabangsa bagi membangunkan ekonomi yang memberi impak besar, selaras dengan matlamat negara dan serantau. - DagangNews.com
standard

