johardy22/10/2026 - 09:00 Petros bersama Petra Energy memulakan pengeluaran minyak di Adong Kechil West, dekat Marudi di Sarawak pada pada Julai 2026. - Gambar UKAS Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Okt - Petroleum Sarawak Berhad (Petros) merancang menggerudi 10 telaga penerokaan minyak dan gas daratan dengan anggaran kos RM500 juta bagi mencari rizab baharu di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Petros telah mengenal pasti sembilan kawasan berpotensi untuk penerokaan dengan penggerudian dirancang di Balingian, Limbang-Lawas, Marudi dan Niah.
Menurutnya, program itu akan menggunakan teknologi termaju untuk mengenal pasti rizab baharu.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 21 Oktober 2026.
Rancangan penerokaan itu menyusul kejayaan Petros bersama Petra Energy memulakan pengeluaran minyak di Adong Kechil West pada 2026, menandakan pengeluaran semula petroleum daratan di Sarawak selepas hampir lima dekad.
Awang Tengah berkata, peningkatan penyertaan syarikat tempatan dan pemindahan teknologi menjadi keutamaan bagi memastikan Sarawak memperoleh manfaat jangka panjang daripada sumber minyak dan gasnya.
Hab gas sokong pengembangan industri hiliran
Selain penerokaan, Sarawak telah mengenal pasti Miri, Samalaju, Bintulu dan Kuching sebagai hab pembangunan utama di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak bagi memperluas penggunaan gas, memperkukuh keselamatan tenaga dan menggalakkan industri hiliran.
Petros bersama syarikat Norway, Höegh Evi turut mengumumkan cadangan pembangunan Terminal Gas Asli Cecair (LNG) Kuching yang menyasarkan bekalan gas pertama menjelang akhir 2029.
Dalam sektor petrokimia, Sarawak Petchem telah mengeksport lebih 180 kargo metanol, yang menurut Awang Tengah menunjukkan nilai pemprosesan sumber gas negeri menjadi produk bernilai lebih tinggi.
Beliau berkata, cadangan projek metanol rendah karbon, ammonia dan urea akan memperluas industri hiliran negeri sambil menyokong peralihan kepada pembangunan perindustrian yang lebih rendah karbon.
Katanya, perkembangan itu akan memperkukuh rantaian nilai minyak dan gas Sarawak yang merangkumi penerokaan, pengeluaran, pemprosesan gas dan pembuatan hiliran.
“Pembangunan ini juga akan menarik pelaburan, mewujudkan pekerjaan berkemahiran dan membuka lebih banyak peluang kepada syarikat Sarawak dalam bidang kejuruteraan, fabrikasi, penyelenggaraan, logistik dan perkhidmatan khusus,” katanya. - DagangNews.com



