johardy08/10/2026 - 15:45 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUCHING 8 Okt - Kerajaan Sarawak merancang membangunkan Tanjung Embang sebagai hab gas bagi menarik pelaburan dalam sektor tenaga dan industri berkaitan menerusi pemanfaatan rizab gas negeri itu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak itu akan menyokong peningkatan permintaan tenaga dan pertumbuhan ekonomi negeri.
“Kita sedang berunding dan membuat persediaan untuk memanfaatkan rizab gas yang kita ada. Kita bangunkan Tanjung Embang dan sebahagian daripadanya ialah hab gas di Tanjung Embang,” katanya seperti dilaporkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Menurut beliau, pembangunan ekosistem gas itu dijangka membuka peluang kepada pelaburan baharu dan cadangan projek di Sarawak.
Beliau berkata, penambahbaikan infrastruktur jalan raya, termasuk jambatan yang baru dibuka bagi memudahkan akses ke Tanjung Embang, akan turut menyokong pembangunan kawasan berkenaan.
Beliau berucap pada majlis makan malam penghargaan untuk Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili, yang akan bersara pada 31 Oktober ini, di sebuah hotel di Kuching pada 7 Oktober.
Pelabuhan dan lapangan terbang terajui pembangunan
Pembangunan hab gas itu merupakan sebahagian daripada rancangan lebih luas untuk membangunkan Tanjung Embang menerusi cadangan pembinaan pelabuhan laut dalam dan lapangan terbang antarabangsa baharu.
Pelabuhan tersebut dirancang untuk menerima kapal lebih besar, manakala lapangan terbang baharu akan memperkukuh hubungan udara dan menyokong kegiatan ekonomi di kawasan sekitarnya.
Abang Johari sebelum ini berkata, pelabuhan yang dicadangkan itu akan dibangunkan bersama Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai pintu gerbang bagi import dan eksport tenaga, dengan kemudahan yang dirancang untuk eksport gas asli cecair (LNG) serta pembekalan hidrogen hijau sebagai bahan api kapal.
Dalam perkembangan berasingan, PETROS pada 1 Oktober mengumumkan perjanjian pembangunan bersama dengan Höegh Evi bagi cadangan Terminal LNG Kuching di bawah pembangunan Hab Rendah Karbon Kuching.
Kemudahan untuk menukar LNG kembali kepada gas itu akan membekalkan gas asli ke Kuching dan kawasan sekitarnya bagi menyokong penjanaan elektrik serta pertumbuhan industri, dengan bekalan gas pertama disasarkan menjelang akhir 2029.
Pada majlis makan malam itu, Abang Johari berkata, gas akan melengkapi sumber hidroelektrik, solar dan biojisim dalam usaha Sarawak meningkatkan bekalan tenaga bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah.
Beliau berkata, kawasan Tanjung Embang akan dibangunkan sebagai hab gas di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak, sekali gus menjadikan gas satu lagi sumber tenaga penting untuk menarik pelaburan dan cadangan projek ke negeri itu.
Turut hadir ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi serta Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki. — DagangNews.com





