
PETALING JAYA– Kerajaan bertekad mengambil tindakan tegas terhadap dalang sindiket penyeludupan warga asing, termasuk pihak yang melindungi atau bersubahat dengan kegiatan berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan tegas turut akan diambil terhadap mana-mana pihak yang membiarkan kedaulatan negara dicabuli.
Beliau menegaskan, keselamatan anggota penguat kuasa dan kedaulatan tanah air tidak boleh dipertaruhkan, manakala pengorbanan anggota keselamatan yang terkorban ketika bertugas tidak boleh dibiarkan sia-sia.
“Petualang yang mengizinkan kedaulatan negara kita dicabul juga mesti diheret ke muka pengadilan. Nyawa anggota keselamatan dan kedaulatan tanah air tidak boleh dipertaruhkan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Anwar berkata demikian susulan pemergian anggota Unit Perisikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Allahyarham Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan yang terkorban ketika menjalankan tugas menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.
Beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta seluruh warga APMM yang kehilangan rakan seperjuangan.
Anwar berkata, beliau amat terkesan dengan pemergian Allahyarham selain kecewa terhadap tindakan pihak yang menggugat keselamatan dan kedaulatan negara.
Sehubungan itu, beliau menegaskan seluruh pasukan penguatkuasaan perlu bertindak tegas tanpa kompromi terhadap sebarang cubaan menceroboh sempadan negara.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh. – KOSMO! ONLINE
The post Petualang penyeludupan perlu diheret ke muka pengadilan – Anwar appeared first on Kosmo Online.






