SHAH ALAM – Seluruh pasukan penguatkuasaan negara mesti bertindak tegas tanpa kompromi terhadap sebarang cubaan menceroboh sempadan negara bagi memastikan pengorbanan anggota Unit Perisikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Allahyarham Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, tidak menjadi sia-sia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keselamatan anggota penguat kuasa dan kedaulatan negara tidak boleh dipertaruhkan demi memberi ruang kepada kegiatan penyeludupan warga asing serta pencerobohan sempadan.
Menurutnya, beliau amat terkesan dengan pemergian Allahyarham yang terkorban ketika menjalankan tugas menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.
“Kita tidak boleh membiarkan pengorbanan ini menjadi sia-sia. Seluruh pasukan penguatkuasaan mesti bertindak tegas tanpa kompromi terhadap cubaan menceroboh sempadan negara.
"Saya dan seluruh pasukan bertekad untuk bertindak tegas terhadap dalang dan sindiket penyeludupan warga asing serta mana-mana pihak yang melindungi atau bersubahat dengan mereka,” katanya dalam satu hantaran Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan Mohd Roshaimi, 41, disahkan meninggal dunia selepas bot yang dinaikinya bersama tiga anggota lain dipercayai melanggar tembok di pesisir pantai kawasan berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah malam.
Dalam kejadian itu, tiga lagi anggota dilaporkan cedera selepas bot peronda mereka melanggar tembok ketika mengejar sebuah bot yang dipercayai membawa PATI.
Anwar turut menegaskan pihak yang membiarkan atau membantu pencerobohan kedaulatan negara juga perlu diheret ke muka pengadilan.
“Petualang yang mengizinkan kedaulatan negara kita dicabul juga mesti diheret ke muka pengadilan. Nyawa anggota keselamatan dan kedaulatan tanah air tidak boleh dipertaruhkan,” ujarnya lagi
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham serta mendoakan mereka diberikan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan tersebut.
Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham serta seluruh warga Maritim Malaysia yang kehilangan rakan seperjuangan dalam mempertahankan keselamatan perairan negara.
Beliau turut mendoakan agar ALLAH SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat ke atas rohnya serta menempatkannya dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.






