
SHAH ALAM – Seorang kakitangan yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang disyaki mempunyai kaitan dengan kes penahanan juruterbang Malaysia yang menyeludup dadah jenis ekstasi seberat 25 kilogram (kg) di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia, minggu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati individu terbabit antara petugas yang terlibat dalam proses saringan pemeriksaan di lapangan terbang berkenaan.
Katanya, individu itu akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan dengan rakaman percakapan akan dibuat.
“Setakat ini, kita sudah dapat (mengenalpasti) seorang (individu bagi membantu siasatan kes itu. Kita akan panggil dia untuk soal siasat dan kalau ada keperluan, kita akan membuat tangkapan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kata Hussein, siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan ekstasi itu dari sebuah apartmen di Ampang sebelum cuba diseludup ke Indonesia.
“Siasatan polis kini tertumpu kepada keseluruhan rangkaian pengedaran dadah termasuk sumber bekalan yang diperoleh suspek di Malaysia.
“Kita berjaya mengesan lokasi dipercayai digunakan suspek bagi mendapatkan bekalan selain memperoleh nombor telefon yang dihubungi bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Beliau menambah, juruterbang itu dipercayai membawa dadah berkenaan dari ibu negara sebelum berlepas ke Kota Kinabalu, Sabah dan Jakarta.
“Suspek kemudiannya mendaftar masuk bagasi itu lebih awal sebelum berlepas dari KLIA menerusi penerbangan ke Kota Kinabalu pada sebelah pagi. Perjalanan dia dari KLIA ke KK, kemudian KK ke KLIA sebelum ke Jakarta pada malam berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Hussein berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu kebenaran daripada Polis Republik Indonesia (POLRI) bagi menghantar pegawai ke Jakarta bagi menemu bual suspek. – KOSMO! ONLINE
The post Petugas KLIA dipanggil kes pilot ditahan seludup dadah di Jakarta appeared first on Kosmo Digital.






