Cuba Seludup 1 Kilogram Syabu, Seorang Lagi Rakyat Malaysia Ditahan Di Indonesia

4 Aug 2026 • 6:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Cuba Seludup 1 Kilogram Syabu, Seorang Lagi Rakyat Malaysia Ditahan Di Indonesia

KUALA LUMPUR - Seorang lagi rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas cuba menyeludup masuk bahan terlarang ke negara itu.

Suspek berusia 22 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya semalam, selepas pihak berkuasa menemui hampir satu kilogram syabu serta lebih 1,000 biji pil ekstasi yang disembunyikan di sebalik korset dipakainya.

Menurut pihak berkuasa Indonesia, suspek tiba di Terminal 2 dengan penerbangan Batik Air OD352 dari Kuala Lumpur sebelum pemeriksaan membawa kepada penemuan empat bungkusan mengandungi 990 gram syabu dan empat lagi bungkusan yang mengandungi 1,089 biji pil ekstasi.

Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku bertindak sebagai penghantar dadah bagi sebuah sindiket penyeludupan antarabangsa. 

Dia mendakwa menerima tawaran tersebut kerana berdepan masalah kewangan serta beban hutang.

Komander Pangkalan Udara Tentera Laut Juanda, Kolonel Henoch Nasairus Virzawan berkata, dadah berkenaan disembunyi di bawah korset dipakai suspek bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, cubaan itu berjaya dipatahkan,” katanya pada sidang media.

Rampasan itu dianggarkan bernilai kira-kira Rp2.79 bilion (sekitar AS$155,000), dengan pihak berkuasa percaya tindakan tersebut berjaya menghalang bekalan dadah berkenaan daripada sampai kepada ribuan pengguna.

Suspek kini diserahkan kepada Polis Perbandaran Sidoarjo untuk tindakan lanjut, manakala siasatan diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang dipercayai terlibat dalam cubaan penyeludupan tersebut.

Kes ini berlaku hanya beberapa hari selepas seorang juruterbang Malaysia Airlines ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta kerana cuba menyeludup lebih 70,000 biji pil ekstasi ke Indonesia.

Dalam kes berasingan itu, pihak berkuasa Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan rakan sejawatan di Indonesia bagi mengesan sumber bekalan dadah.

Mereka juga sedang menyiasat kemungkinan penglibatan sindiket jenayah terancang serta mengenal pasti bagaimana bahan terlarang itu berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan. - Getaran, 4 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved