
Petugas TH Kongsi Pengalaman Sedih Urus Jemaah Haji Meninggal Dunia
Setiap tahun, jutaan umat Islam dari seluruh dunia berkumpul di Tanah Suci Mekah untuk menunaikan ibadah haji. Ia merupakan rukun Islam kelima yang wajib ditunaikan bagi setiap Muslim yang berkemampuan.
Namun di sebalik kemeriahan dan kesyukuran menunaikan ibadah tersebut, saban tahun juga kita akan menerima khabar duka melibatkan jemaah yang meninggal dunia di sana, khususnya dalam kalangan warga emas.
Bagi jemaah Malaysia, Tabung Haji (TH) dengan kerjasama pihak berkuasa Arab Saudi berperanan untuk memastikan segala proses pengurusan jenazah berjalan dengan lancar.

Di sebalik tugasan itu, terdapat petugas-petugas TH yang berdepan pelbagai pengalaman menyentuh hati ketika menguruskan jenazah jemaah Malaysia di Tanah Suci.
Siakap Keli sempat menemu bual salah seorang dari mereka iaitu Timbalan Pengarah Operasi Maktab dan Komunikasi TH, Muhammad Firdaus.
Firdaus berkongsi pengalaman ketika menguruskan jenazah seorang jemaah wanita yang meninggal dunia di dalam tandas di Mina pada tahun 2014.
Memulakan cerita, Firdaus berkata jemaah itu ditemui meninggal dunia ketika dia bersama petugas yang lain melakukan rondaan di Mina.
Baca juga:
Apa Perlu Buat Jika Sesat Di Tanah Suci? Ketua Rombongan Haji Malaysia Kongsi Langkah Penting
Jemaah Masih Dalam Ihram Terima Bunga Ros Ketika Sampai Di Mekah, Ini Penjelasan Pihak Tabung Haji
"Pada tahun 2014 masa saya menguruskan jemaah haji di Mina, di maktab ini kita ada rondaan ataupun kita beroperasi 24 jam di Arafah dan Mina.
"Jemaah haji ini kita dah lama dengan mereka dan rata-rata dari jemaah ini kita kenal.
"Masa kita membuat rondaan pada jam 9 malam, saya dapat makluman daripada jemaah haji yang lain, maklumkan ada jemaah haji seorang ini dah lama berada di tandas," katanya.
Lama dalam tandas
Dia difahamkan bahawa jemaah itu sudah berada di dalam tandas selama setengah jam.
"Selepas itu bila saya membuat pemeriksaan, kita ketuk banyak kali tapi tak ada menjawab. Saya mengambil keputusan untuk panjat pintu itu.
"Saya nampak jemaah haji itu dah pengsan, dah tak sedarkan diri. Selepas itu bila saya cuba untuk buka (pintu), saya melompat. Tandas di Mina itu, dia ada ruang di atas yang bolehkan kita masuk ke dalam.

"Bila kita masuk ke dalam, saya buka pintu, saya minta seorang jemaah haji untuk panggil petugas haji yang lain dan termasuk petugas perubatan untuk tolong tengokkan.
"Tapi pada masa sama, tak adalah kita nak biarkan jemaah haji itu berada di dalam tandas. Saya angkat dan kebetulan ada petugas saya membawa kerusi roda.
"Ketika itu, saya lihat jemaah haji tersebut memang dah tak sedarkan diri. Kepalanya terkulai," ujarnya.
Melihat keadaan tersebut, perasaan sedih mula menyelubungi dirinya dan dalam masa yang sama dia tetap cuba mengejutkan jemaah itu untuk bangun tetapi tiada respon.
Jemaah tiada waris
Kongsinya lagi, jemaah itu dibawa ke klinik yang disediakan di maktab.
"Kita angkat jemaah itu bawa ke klinik. Hampir lebih kurang 15 minit juga.
"Doktor membuat pemeriksaan dan mengisytiharkan jemaah itu meninggal dunia.
"Apa yang membuatkan saya sedih, jemaah itu tiada waris. Tapi pada masa yang sama jemaah itu juga masih dalam ihram," katanya.
Firdaus berkata itu merupakan pengalaman yang tidak boleh dilupakan olehnya.

