PG Jewel buka cawangan ke-4 di Taiping, sasar 200 lokasi seluruh negara

29/09/2025 - 09:57
Cawangan PG Jewel di Taiping, Perak Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 29 Sept – PG Jewel Sdn. Bhd, syarikat barang kemas di bawah Aurora Italia International Berhad (AIIB), membuka sebuah lagi kedai fizikal di Taiping, Perak iaitu cawangan kedua di negeri itu selepas Ipoh.
Pelancaran rasmi cawangan baharu itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan AIIB, Datin Seri Yvonne Lim bersama Pengarah PG Jewel, Jessie Ng baru-baru ini.
Dengan keluasan 2,000 kaki persegi, kedai tersebut menawarkan pelbagai koleksi emas dan perak yang menampilkan gabungan elegan klasik dan rekaan moden.
Taiping menjadi cawangan keempat PG Jewel di Malaysia selepas pembukaan di Kota Kinabalu pada Jun, Ipoh pada Julai dan Johor Bahru pada Ogos tahun ini.
Sejak membuka cawangan kedai fizikal pertamanya, PG Jewel konsisten melancarkan satu kedai baharu setiap bulan.
Jessie berkata, PG Jewel yang ditubuhkan pada 2017 beroperasi secara dalam talian mengambil langkah berani membuka kedai fizikal bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Kami menyasarkan untuk membuka sehingga 200 kedai fizikal di seluruh negara dalam beberapa tahun akan datang.
“PG Jewel menghasilkan barang kemas berkualiti tinggi yang bukan sahaja bergaya dan elegan, malah ditawarkan pada harga berpatutan kerana rekaannya yang moden.
“Ia sesuai digayakan setiap hari, boleh dijadikan pelaburan jangka panjang atau diwarisi generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Selain koleksi jenama sendiri, PG Jewel turut memasarkan produk berjenama Aurora Italia termasuk jongkong emas Au 999.9 dalam pelbagai saiz iaitu 0.25g, 0.5g dan 1g.
Jongkong ini menampilkan rekaan mercu tanda ikonik Malaysia serta edisi berlesen eksklusif daripada Marvel, Disney, Warner Bros, DC dan Sanrio, menjadikannya pilihan popular untuk dijadikan sebagai hadiah dan koleksi peribadi.
Sempena pembukaan cawangan baharu di Taiping, PG Jewel turut memperkenalkan loket emas 999 Green Butterfly yang dijual pada harga promosi RM299 seunit untuk 50 pelanggan pertama.
Syarikat itu juga menawarkan baucar Early Bird RM50 kepada 50 pelanggan terawal serta peluang memenangi hadiah menarik melalui cabutan “Exclusive Spin & Win” bagi mereka yang berbelanja RM700 ke atas.


Menurut Jessie, sambutan pelanggan terhadap rangkaian kedai fizikal yang dibuka sejak pertengahan tahun ini amat positif dan membuktikan potensi pasaran runcit emas dan perak tempatan masih luas.
“Kami berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 200 kedai di seluruh negara dalam beberapa tahun akan datang.
“PG Jewel juga merancang untuk membuka kedai kelima di Alor Setar, Kedah pada awal November ini,” katanya.
Syarikat itu juga telus apabila menyediakan kemas kini harga emas harian secara masa nyata di laman web rasminya untuk membantu pelanggan. - DagangNews.com
standard




