PH ada kelebihan calon PM berdasarkan rekod baik Anwar

LocalPolitics
9 Oct 2026 • 10:43 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: PH ada kelebihan calon PM berdasarkan rekod baik Anwar

PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) dilihat mempunyai kelebihan lebih besar dalam isu penamaan calon Perdana Menteri sempena Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berdasarkan rekod dan keupayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir negara terutama daripada segi pembangunan ekonomi dan sosial.

Profesor Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin, Prof. Dr. Mohd. Afandi Salleh berkata, Anwar mempunyai rekod baik dalam menawarkan kepimpinan yang sudah dikenali serta pentadbiran boleh dinilai.

Menurut beliau, dalam menghadapi PRU16, kepastian tentang siapa yang akan memimpin negara merupakan suatu kekuatan politik, khususnya apabila pihak yang mahu mencabar kerajaan sekarang masih belum mencapai persetujuan mengenai siapa kepimpinan tertinggi mereka.

“Kelebihan Anwar bukan sekadar pada nama atau kedudukannya sebagai penyandang. Beliau mempunyai pengalaman mengurus ekonomi, mengendalikan hubungan antarabangsa dan mempertemukan pelbagai parti yang berbeza kepentingan dalam sebuah kerajaan termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Keupayaan mengurus perbezaan ini penting kerana untuk mentadbir Malaysia memerlukan keyakinan merentas parti, agama, kaum, wilayah dan latar belakang sosio-ekonomi,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Afandi berkata, sekiranya kerjasama Barisan Nasional (BN)-Pas mahu dikemukakan sebagai pilihan untuk mengambil alih Putrajaya, gabungan itu perlu menjelaskan siapa calon Perdana Menteri, apakah dasar bersama dan bagaimana mereka akan membentuk kerajaan stabil.

Katanya, slogan penyatuan ummah mempunyai daya tarikan politik, tetapi ia perlu diterjemahkan kepada tawaran pentadbiran yang meyakinkan.

Beliau berkata, persetujuan untuk bekerjasama dalam pilihan raya belum tentu bermakna persetujuan tentang cara mentadbir selepas kemenangan.

“Saya berpandangan bahawa Pas masih tidak mempunyai pemimpin bertaraf nasional yang berkaliber dan mampu diterima semua pihak, berupaya mengurus ekonomi yang kompleks dan membina keyakinan rakan gabungan, termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kewibawaan dalam parti perlu disertai kemampuan memimpin seluruh negara,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, soal integriti pemimpin juga akan dinilai dan perlu menunjukkan ketelusan dan kesediaan dipertanggungjawabkan.

Katanya, kekuatan yang ada pada Anwar lebih meyakinkan apabila dibina atas rekod pentadbiran dan mutu kepimpinannya, berbanding pemimpin parti-parti lain.

“Cabaran kepada BN-Pas pula ialah menawarkan kepimpinan dan program pemerintahan yang sekurang-kurangnya setanding.

“Pengundi berhak mengetahui siapa yang akan memimpin mereka, bagaimana negara akan ditadbir dan apakah yang akan menjadi lebih baik dalam kehidupan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post PH ada kelebihan calon PM berdasarkan rekod baik Anwar appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved