PH Lancar Manifesto ‘Johor Untuk Semua’, Sasar 250,000 Pekerjaan Baharu Bergaji Tinggi

LocalPolitics
3 Jul 2026 • 8:06 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

PH Lancar Manifesto ‘Johor Untuk Semua’, Sasar 250,000 Pekerjaan Baharu Bergaji Tinggi

KUALA LUMPUR  - Pakatan Harapan (PH) hari ini melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri Johor bertemakan “Johor Untuk Semua”, yang memfokuskan kepada peningkatan pendapatan rakyat, pemilikan rumah, pembangunan modal insan serta memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dinikmati secara lebih menyeluruh.

PH berkata, Johor kini berada pada kedudukan strategik untuk muncul sebagai antara negeri paling maju di Malaysia susulan kemasukan pelaburan berskala besar, pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), projek Sistem Transit Rapid (RTS) serta pertumbuhan sektor digital dan teknologi.

Bagaimanapun, gabungan itu menegaskan, kemajuan ekonomi tidak boleh diukur berdasarkan nilai pelaburan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan yang lebih baik, peningkatan pendapatan, pemilikan rumah dan pembangunan seimbang di seluruh negeri.

Menurut PH, ramai rakyat Johor masih berdepan tekanan kos sara hidup, kenaikan harga rumah serta kadar gaji yang tidak seiring dengan peningkatan kos kehidupan, dengan gaji median di negeri itu dianggarkan sekitar RM2,982 sebulan.

Antara tawaran utama yang diumumkan ialah skim perlindungan kesihatan sehingga RM100,000 setahun untuk golongan B40, M40 dan orang kurang upaya (OKU), selain cadangan menghidupkan semula Kad Kesihatan Johor yang disasarkan memberi manfaat kepada kira-kira 500,000 rakyat.

Dalam sektor perumahan, PH menawarkan bantuan deposit rumah pertama sehingga RM8,000, skim sewa untuk dimiliki serta pembinaan 80,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun dengan keutamaan diberikan kepada keluarga muda dan generasi kedua FELDA.

Manifesto itu turut memberi penekanan kepada pembangunan belia menerusi penubuhan Dana Belia Johor bernilai RM500 juta yang merangkumi latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kecerdasan buatan (AI), robotik, kemahiran digital, keusahawanan serta program jaminan pekerjaan pertama.

PH turut mencadangkan penyediaan internet gigabit di semua sekolah menjelang 2030, pembangunan makmal AI dan robotik di setiap daerah serta kerjasama lebih erat antara institusi pendidikan dan industri.

Bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, gabungan itu mengumumkan cadangan dana RM1 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan, di samping memperkukuh sektor agromakanan, ekonomi kreatif, teknologi tinggi, minyak dan gas, pelancongan serta pertanian moden.

Sebagai sasaran utama ekonomi, PH berikrar mewujudkan 250,000 pekerjaan baharu yang bergaji tinggi dan bermaruah serta meningkatkan gaji median di Johor sekurang-kurangnya 30 peratus.

Manifesto itu turut mengandungi beberapa inisiatif lain termasuk penubuhan 250 Taska MADANI dan pusat jagaan di tempat kerja, pas pengangkutan awam Johor berharga RM50 sebulan untuk pelajar, warga emas dan OKU, Program Balik Johor bagi menarik profesional yang bekerja di Singapura atau luar negara, serta pemberian geran RM1,000 bagi setiap bayi yang dilahirkan di negeri itu.

Dalam perkembangan berkaitan, agenda perumahan yang diketengahkan PH turut menjadi antara fokus utama pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.

Di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), Johor sebelum ini menetapkan sasaran membina 30,000 rumah mampu milik bagi tempoh 2022 hingga 2026 sebelum meningkatkan sasaran kepada 100,000 Rumah Mampu Milik Johor menjelang 2030.

Kerajaan negeri juga melaporkan lebih 20,000 unit rumah mampu milik telah siap dibina antara 2022 hingga 2025, selain memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk Bantuan Pembelian Rumah Pertama RM5,000, Bantuan Masuk Rumah RM2,000 dan bantuan sewa rumah untuk kumpulan yang layak. - Getaran, 3 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved