PH Melaka keluar kerajaan negeri, arah Ahli Majlis dan JPKK lepas jawatan 31 Julai

LocalPolitics
17 Jul 2026 • 12:58 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

PH Melaka keluar kerajaan negeri, arah Ahli Majlis dan JPKK lepas jawatan 31 Julai

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) Melaka mengesahkan pengunduran sepenuhnya daripada pentadbiran Kerajaan Negeri apabila mengarahkan semua Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang mewakili gabungan itu melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa 31 Julai ini.

Keputusan itu menandakan langkah menyeluruh PH Melaka untuk beralih sepenuhnya ke blok pembangkang selepas lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) gabungan tersebut menarik diri daripada pentadbiran negeri susulan bantahan terhadap pindaan Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka berkaitan pelantikan ADUN lantikan.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, keputusan tersebut dipersetujui dalam mesyuarat kepimpinan PH Melaka bersama lima ADUN gabungan itu yang berlangsung semalam.

“Mesyuarat turut memutuskan Ahli-ahli Majlis dan JPKK daripada PH menarik diri daripada jawatan masing-masing berkuat kuasa pada 31 Julai 2026.

“Tempoh tersebut diberikan bagi memastikan proses peralihan pentadbiran berjalan lancar dan tidak menjejaskan urusan kerajaan negeri, selain keputusan dibuat berlandaskan prinsip demokrasi diamalkan PH,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Adly, seseorang Pengerusi Jawatankuasa Negeri atau ADUN yang tidak lagi menyokong usul kerajaan di Dewan Undangan Negeri tidak seharusnya terus menikmati keistimewaan dan kemudahan sebagai sebahagian daripada pentadbiran kerajaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, barisan Pengerusi Jawatankuasa Negeri serta seluruh penjawat awam negeri atas kerjasama sepanjang PH berada dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Walaupun kini berada di blok pembangkang, PH Melaka akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang yang konstruktif serta memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat terus diperjuangkan.

“Semua ADUN PH juga akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik,” katanya.

Sebelum ini, DAP Melaka mengumumkan keluar daripada Kerajaan Negeri sebagai bantahan terhadap kelulusan pindaan Perlembagaan Negeri yang membolehkan pelantikan ADUN lantikan, sekali gus membawa kepada perubahan kedudukan PH sebagai pembangkang di Dewan Undangan Negeri Melaka.

Langkah terbaharu PH Melaka itu dilihat melengkapkan proses pengunduran gabungan berkenaan daripada struktur pentadbiran negeri, sekali gus memberi isyarat bahawa mereka akan memberi tumpuan kepada peranan sebagai pembangkang bagi menyemak dasar dan tindakan kerajaan negeri dari dalam Dewan Undangan Negeri.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved