
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) perlu mengubah persepsi bahawa kerajaan Negeri Sembilan dikuasai DAP jika mahu mempertahan negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming berkata, persepsi tersebut antara cabaran terbesar yang perlu ditangani PH selain meyakinkan pengundi bahawa gabungan berkenaan mempunyai kepemimpinan yang berwibawa untuk mentadbir negeri itu.
“Mengatasi persepsi yang kerajaan PH di Negeri Sembilan akan dikuasai oleh DAP jika PH menjadi kerajaan negeri, malah PH juga perlu memberi naratif kuat yang kerajaan PH di Negeri Sembilan sebelum ini dan selepas PRN 2026 akan ditadbir oleh pemimpin yang berwibawa serta berkebolehan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pemerhatian, walaupun PH menamakan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai calon Menteri Besar dan ‘poster boy’ gabungan itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilihat lebih menonjol dalam siri jelajah kempen, pengumuman calon serta sidang media sepanjang PRN Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, katanya lagi, PH juga perlu mengelakkan daripada menggunakan naratif yang boleh menakutkan pengundi bukan Melayu kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan menyekat amalan budaya masyarakat bukan Melayu.
Kian Ming menjelaskan, strategi memainkan sentimen bahawa kerajaan BN-PN akan menjadi sebuah kerajaan ‘hijau’ yang didominasi Pas bukan sahaja kurang berkesan, malah boleh memakan diri.
Katanya, naratif sedemikian mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengundi bukan Melayu, namun pada masa sama boleh menyebabkan pengundi Melayu beralih memberikan sokongan kepada pihak lawan.
“PH juga perlu mengelakkan strategi untuk menakutkan orang bukan Melayu yang kerajaan BN-PN di Negeri Sembilan akan menjadi kerajaan ‘hijau’, Pas akan menyekat orang bukan Melayu daripada pengamalan budaya masyarakat mereka seperti minum arak dan berpakaian seluar pendek.
“Naratif ini juga akan menyebabkan orang Melayu untuk tidak memberi sokongan kepada PH,” katanya.
Katanya lagi, pendekatan lebih berkesan ialah PH menumpukan kepada rekod pentadbiran, kredibiliti kepemimpinan dan tawaran dasar yang mampu meyakinkan semua lapisan pengundi menjelang PRN Negeri Sembilan. – UTUSAN
The post PH perlu ubah persepsi dikuasai DAP jika mahu pertahan Negeri Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.





