
PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) menyasarkan kemenangan antara 70 hingga 80 peratus daripada kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan berkata, proses pemilihan calon dilakukan secara teliti bagi memastikan calon yang diketengahkan memenuhi kriteria parti.
Beliau berkata, pengumuman calon lebih awal kali ini juga bertujuan memberi ruang kepada jentera parti membuat persiapan lebih rapi menjelang hari penamaan calon.
“Sebelum ini, calon hanya diumumkan dua atau tiga hari sebelum penamaan calon, tetapi kali ini kita membuat pengumuman lebih awal bagi membolehkan jentera membuat persiapan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Dharma MADANI dan Program Harmoni MADANI di sini, hari ini.
Mengulas sasaran kemenangan itu, Ramanan berkata, keputusan pilihan raya bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk perubahan sokongan pengundi menjelang hari pengundian.
“Kita mungkin nampak kuat hari ini, tetapi apabila tiba hari pengundian, kita tidak tahu bagaimana keadaannya.
“Begitu juga jika kita nampak lemah hari ini, keadaan boleh berubah. Ia bergantung kepada gelombang yang berlaku dalam tempoh dua hingga tiga hari terakhir,” katanya. – UTUSAN
The post PH sasar menang 70 hingga 80 peratus kerusi PRN Melaka appeared first on Utusan Malaysia.






