PKR tidak turun ke Melaka sekadar melengkapkan jumlah calon – Fuziah

LocalPolitics
27 Oct 2026 • 4:55 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PKR tidak turun ke Melaka sekadar melengkapkan jumlah calon – Fuziah

PETALING JAYA: PKR menolak tanggapan bahawa peluang parti itu dan Pakatan Harapan (PH) untuk meraih sokongan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 adalah tipis, sambil menegaskan parti itu turun bertanding untuk mencabar kedudukan sedia ada.

Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai peluang parti itu berdasarkan ramalan penganalisis politik kerana keputusan pilihan raya akhirnya ditentukan oleh pengundi.

Beliau berkata, sejarah politik negara membuktikan ramalan dan percaturan politik tidak semestinya menggambarkan keputusan sebenar yang bakal dibuat rakyat.

“Saya menghormati pandangan penganalisis politik, tetapi saya berpandangan terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa peluang PKR dan Pakatan Harapan di Melaka adalah tipis.

“Pilihan raya bukan pertandingan meramal keputusan. Sejarah politik negara telah berkali-kali membuktikan bahawa percaturan dan ramalan politik tidak semestinya mencerminkan keputusan sebenar rakyat.

“PKR tidak turun ke Melaka sekadar untuk melengkapkan jumlah calon atau menjadi pelengkap pertandingan. Kita turun untuk bersaing secara serius, menawarkan pilihan kepada rakyat dan berusaha memenangi kepercayaan pengundi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fuziah berkata, beliau sendiri telah melawat dan membantu persiapan jentera di kesemua sembilan Bilik Gerakan Utama Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi PKR sejak pengumuman calon.

Katanya, beliau melihat sendiri kesungguhan, disiplin dan komitmen jentera parti yang bekerja bagi memastikan setiap kawasan diberikan perhatian sewajarnya.

Beliau berkata, PKR turut menampilkan calon muda yang membawa idea baharu serta pendekatan lebih dinamik dalam usaha mendekati pengundi.

“Inilah nilai yang ingin diketengahkan parti iaitu calon yang bukan sahaja berani membawa perubahan tetapi mempunyai kredibiliti dan keupayaan untuk bekerja demi kepentingan rakyat,” katanya.

Fuziah berkata, pengundi bukan sahaja menilai parti yang bertanding, malah turut mengambil kira prestasi, kestabilan dan kemampuan pihak yang mahu diberikan mandat untuk mentadbir.

Beliau mengakui cabaran dihadapi PKR dan PH adalah besar, namun menegaskan kemampuan kedua-dua pihak untuk mencabar kedudukan sedia ada tidak seharusnya ditolak terlalu awal.

“Akhirnya, pilihan raya bukan ditentukan oleh siapa yang paling yakin membuat ramalan, tetapi siapa yang berjaya meyakinkan rakyat,” katanya. – UTUSAN

The post PKR tidak turun ke Melaka sekadar melengkapkan jumlah calon – Fuziah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved