MELAKA: Pakatan Harapan (PH) telah mensia-siakan empat tahun bagi melaksanakan perubahan yang mampu memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, khususnya dalam menangani isu gaji dan kos sara hidup.
Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, masa yang berbaki ketika ini semakin singkat untuk kerajaan membuktikan keberkesanan dasar-dasar yang dilaksanakan.
“Tapi kita telah sia-siakan empat tahun. Yang berbakinya mungkin lima bulan, tujuh bulan.
“Dalam suasana segala masalah ekonomi rakyat, pasal harga, pasal gaji semua ini, kita dah kesuntukan masa untuk kita buktikan kerajaan buat dasar-dasar yang radikal yang memastikan kekayaan negara daripada pertumbuhan ekonomi akhirnya sampai kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Pengumuman Calon Bersama bagi PRN Melaka di sini hari ini.
Rafizi berkata, pengumuman mengenai pertumbuhan ekonomi yang baik tidak mencukupi sekiranya rakyat masih tidak merasakan peningkatan ketara dalam pendapatan dan kuasa beli mereka.
Katanya, rakyat masih berdepan harga barangan yang tinggi, kenaikan gaji yang kecil serta kos keperluan lain termasuk ubat-ubatan.
“Sekarang tiap-tiap tiga bulan kerajaan umum pertumbuhan ekonomi kita bagus, mengatasi semua.
“Rakyat pula pergi beli barang, harga ikan macam itu juga, gaji naik RM50 macam itu juga, ubat makin mahal macam itu juga,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan keyakinan rakyat terhadap PH semakin terhakis sehingga sukar untuk parti berkenaan terus meyakinkan pengundi dengan pendekatan sama.
“Saya rasa di sebelah PH pula dah tak ada masa dah. Orang dah tak percaya.
“Kalau saya ada dalam PH sekarang pun, kalau saya ulang apa yang pimpinan PH cakap atas pentas ceramah, saya rasa korang baling telur busuk dekat saya.
“Itu salah satu sebab kenapa saya buat Bersama. Saya dah nampak masa depan yang mana bila saya berceramah, saya kena baling dengan telur busuk sebab orang dah tak percaya,” katanya.- UTUSAN
The post PH sudah bazirkan empat tahun appeared first on Utusan Malaysia.






