
MELAKA: Pakatan Harapan (PH) akan menilai semula hala tuju dan strategi politik gabungan itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk kemungkinan menjalin kerjasama dengan parti lain menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim berkata, sebarang keputusan mengenai kerjasama politik baharu perlu dibincangkan secara menyeluruh dalam Majlis Presiden PH sebelum dijadikan pendirian rasmi gabungan itu.
Katanya, PH mengambil maklum perkembangan politik semasa yang memperlihatkan kemungkinan pembentukan jajaran baharu namun tumpuan ketika ini kekal kepada kempen PRN Melaka.
“Pada masa sekarang kami fokus kepada tamatkan kempen sehingga hari mengundi. Kami sudah nampak beberapa perkembangan terkini politik yang ada hari ini di mana jajaran baharu sedang berlaku, itu kami tidak nafikan.
“Saya ambil ini sebagai salah satu dinamik yang perlu kita perhatikan. Di peringkat PH, keputusan-keputusan sebegini akan dibincangkan dalam Majlis Presiden dengan tuntas sehingga kami boleh mungkin datangkan dengan satu ketetapan yang boleh dijadikan sebagai hala tuju PH itu sendiri,” katanya semasa sidang akhbar harian PH di sini, hari ini.
Menurut Adam Adli, sebarang perkembangan atau kenyataan politik tidak boleh dianggap sebagai keputusan rasmi PH selagi belum dibincangkan dan diputuskan oleh Majlis Presiden gabungan itu.
“Kita tahu dalam kebelakangan ini perkembangan kadang-kadang memberi gambaran pada beberapa pergerakan di hadapan tapi selagi mana tidak ada ketetapan yang khusus dalam tajuk ini, tidak dibincangkan dalam Majlis Presiden, maka kita tidak boleh ambil itu sebagai satu yang rasmi.
“Cuma kami akui bahawa PH sendiri perlu menilai hala tuju kita selepas pilihan raya negeri ini. Apatah lagi kita jangkakan bahawa pilihan raya umum akan membuka tirainya sekitar tahun depan. Jadi itu menuntut kami untuk buat strategi dan pendekatan yang sesuai,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keutamaan PH ketika ini adalah memastikan kemenangan calon gabungan itu pada hari pengundian, 14 November ini.
“Apa yang sudah dibincangkan sebelum ini cukup setakat di situ. Untuk hari mengundi, saya kira kami fokus kepada memenangkan calon PH,” katanya. – UTUSAN
The post PH teliti kemungkinan kerjasama baharu selepas PRN Melaka appeared first on Utusan Malaysia.



