
PADANG RENGAS: Cadangan supaya parti komponen Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) wajar dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan gabungan itu susulan perubahan landskap dan persepsi politik semasa.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, perkara itu perlu diperhalusi dengan mengambil kira pengalaman PH berhadapan beberapa siri pilihan raya sebelum ini.
Katanya, strategi penggunaan logo merupakan antara aspek yang perlu dinilai semula bagi memastikan pendekatan gabungan itu kekal relevan dengan realiti politik semasa.
“Saya tidak menafikan terdapat kewajaran dan pertimbangan khusus untuk kita menilai semula strategi dan pendekatan selepas berhadapan beberapa siri pilihan raya sebelum ini
“Antara perkara yang perlu diperhalusi oleh pucuk pimpinan ialah isu penggunaan logo parti.
“Bagaimanapun, kita akui kemenangan dalam pilihan raya bukan hanya sekadar tentang logo, sebaliknya merangkumi pelbagai aspek termasuk strategi politik, perkhidmatan, pendekatan parti dan pemilihan calon.
“Semua faktor ini perlu diberi perhatian teliti kerana masing-masing menyumbang kepada kemenangan calon yang akan diketengahkan dalam pilihan raya,” katanya ketika ditemui pada Hari Bertemu Komuniti dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Belajar di Pusat Komuniti Rakyat Padang Rengas, di sini hari ini.
Sementara itu, ditanya sama ada penggunaan logo parti masing-masing akan mengelirukan rakyat, Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan itu menjangkakan perkara seumpama itu tidak akan berlaku.
Katanya, sebagai contoh, PKR sendiri pernah menggunakan logonya sendiri dalam beberapa pilihan raya sebelum ini tanpa menimbulkan sebarang isu.
“PKR sudah hampir 30 tahun dan kita tengok dalam mana-mana pilihan raya pun tiada isu malah sebelum ini kita pernah menggunakan logo sendiri dan melakar sejarah apabila berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN),” katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Muhammad Kamil berkata, kerusi Parlimen Padang Rengas terbuka untuk ditandingi mana-mana pihak termasuk bekas penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Beliau yang pernah bertanding di kerusi itu pada PRU lalu berkata, sistem demokrasi negara memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk menawarkan diri sebagai calon pilihan raya.
“Saya fikir rakyat sudah cukup bijak untuk menilai pemimpin mana yang wajar diangkat dan diberikan mandat sebagai pemimpin berdasarkan khidmat dan sumbangan mereka kepada masyarakat,” katanya.-UTUSAN
The post PH wajar pertimbang guna logo parti masing-masing pada PRU-16 appeared first on Utusan Malaysia.






