Pharmaniaga beli kilang, bangunan pejabat berharga RM30 juta di Seberang Perai Selatan

LocalBusiness & Finance
19 Sep 2025 • 2:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pharmaniaga beli kilang, bangunan pejabat berharga RM30 juta di Seberang Perai Selatan

image is not available

19/09/2025 - 14:34

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Pharmaniaga Berhad menerusi Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan N.H. Development Sdn Bhd bagi memperoleh sebuah kilang dan bangunan pejabat di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang pada harga RM30 juta.

Kumpulan itu berkata, pembelian itu melibatkan sebuah kilang berkembar setingkat bersama pejabat dua tingkat di atas tanah pegangan bebas seluas 10,919 meter persegi.

Katanya, menerusi perjanjian itu, Pharmaniaga Logistics telah membayar deposit sebanyak 10% atau RM3 juta, terdiri daripada deposit cagaran sebanyak RM900,000 dan baki deposit RM2.1 juta.

Baki RM27 juta akan dijelaskan secara ansuran mengikut syarat SPA.

"Penyerahan milikan kosong akan dibuat dalam tempoh 18 bulan daripada tarikh SPA, bebas daripada sebarang tuntutan.

“Bagaimanapun, pembeli boleh memulakan kerja-kerja pengubahsuaian mulai 9 Januari 2026, setelah syarat pembayaran dipenuhi serta Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan diperoleh,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Pharmaniaga berkata, pembelian itu sejajar dengan kewajipan konsesi syarikat bersama Kementerian Kesihatan dan ia menyokong strateginya untuk memperluas kapasiti logistik dan pengedaran, khususnya di Pulau Pinang dan negeri-negeri berdekatan.

Kumpulan itu berkata, pembelian ini dibiayai melalui hasil daripada pelan penyusunan semula, bertujuan meningkatkan nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan.

“Transaksi ini dijangka tidak memberi sebarang kesan material terhadap modal saham, aset bersih, nisbah hutang atau pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025,” katanya. - DagangNews.com

standard