PHB bentuk kerjasama strategik bantu vendor Bumiputera melalui peluang pembiayaan dan pasaran

LocalBusiness & Finance
3 Nov 2026 • 10:10 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PHB bentuk kerjasama strategik bantu vendor Bumiputera melalui peluang pembiayaan dan pasaran Image from: PHB bentuk kerjasama strategik bantu vendor Bumiputera melalui peluang pembiayaan dan pasaran amree03/11/2026 - 10:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Nov — Akses pembiayaan, peluang pasaran dan sokongan pembangunan perniagaan bakal diperluas kepada vendor Bumiputera menerusi kerjasama strategik Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) bersama tiga agensi utama, iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).

 

Menurut kenyataan PHB, kerjasama itu dimeterai menerusi Program Pembangunan Vendor Bumiputera bagi membangunkan ekosistem perniagaan secara lebih menyeluruh, sekali gus melahirkan vendor tempatan yang berdaya tahan, kompetitif dan mampu berkembang ke tahap lebih tinggi.

 

Menerusi inisiatif berkenaan, PHB turut berperanan sebagai syarikat peneraju di bawah Program Pembangunan Vendor Kuskop bagi memperluaskan penyertaan usahawan Bumiputera dalam rantaian bekalan serta sektor industri strategik negara ini.

 

"Kerjasama itu dimeterai melalui pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara PHB dan KUSKOP, memorandum kerjasama (MoC) bersama PUNB serta surat hasrat dengan CGC pada 2 November 2026," jelas dana pelaburan tersebut.

 

PHB_DagangNews2026
Ketua Setiausaha Kuskop, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud (kiri) dan Pengarah Urusan Kumpulan PHB, Mazuki Abdullah bertukar dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) semasa Majlis Pemeteraian Kerjasama Strategik Program Pembangunan Vendor Bumiputera PHB.

 

Tambahnya, kerjasama dengan KUSKOP akan memberika tumpuan kepada usaha pemudahcaraan program dan perluasan jaringan strategik bagi memperkukuh pembangunan vendor Bumiputera.

 

Sementara itu, PUNB akan memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan pembiayaan serta pembangunan kapasiti perniagaan bagi meningkatkan keupayaan operasi, daya tahan dan daya saing vendor.

 

Kerjasama dengan CGC pula bertujuan memudahkan akses kepada penyelesaian pembiayaan serta sokongan pembangunan perniagaan bagi membantu vendor mengembangkan operasi masing-masing.

 

Pengarah Urusan Kumpulan PHB, Mazuki Abdullah @ Muhammad berkata, pembangunan ekonomi Bumiputera secara mampan memerlukan sinergi antara kerajaan, sektor korporat dan komuniti usahawan supaya peluang pertumbuhan dapat dimanfaatkan secara lebih meluas.

 

PHB_DagangNews2026
Ketua Setiausaha Kuskop, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud (dua dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen memorandum PHB diwakili Pengarah Urusan Kumpulannya, Mazuki Abdullah @ Muhammad (kanan); manakala PUNB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izwan Zainuddin (kiri); dan CGC diwakili oleh Ketua Pegawai Perniagaan, Sean Tan (dua dari kiri). 

 

"Inisiatif ini diharap dapat melahirkan lebih ramai vendor Bumiputera berdaya tahan, kompetitif dan bersedia merebut peluang pertumbuhan baharu dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar," katanya.

 

Beliau berkata, program berkenaan turut menyokong aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PUTERA35) menerusi pembangunan ekosistem ekonomi Bumiputera yang lebih inklusif, bernilai tinggi dan mampan.

 

Selain akses pembiayaan dan pasaran, program itu turut menekankan peningkatan kompetensi perniagaan, pendigitalan, penggunaan teknologi, amalan tadbir urus baik serta penerapan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Langkah berkenaan ujar beliau, bagi memastikan vendor Bumiputera mampu memenuhi segala keperluan industri dan berkembang secara berterusan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved