PHB luaskan pegangan hartanah industri bernilai RM247 juta di Kedah dan Johor

23/07/2025 - 11:44
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 23 Julai - Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), syarikat pelaburan di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) mengumumkan pemerolehan dua hartanah industri di Kulim Hi-Tech Park, Kedah dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor bernilai RM247 juta.
Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata, langkah strategik ini merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan jangka panjang PHB untuk memperkukuh kedudukan dalam segmen hartanah industri serta mempelbagaikan portfolio pelaburannya selaras dengan aspirasi pertumbuhan syarikat.
Beliau berkata aset pertama diperoleh daripada Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd. (KTPC), meliputi kawasan seluas 4.8 hektar yang terletak di lokasi strategik dalam Kulim Hi-Tech Park.
"Kemudahan ini terdiri daripada tiga blok bangunan industri termasuk bangunan utama empat tingkat serta gudang dan kawasan pengeluaran setingkat. Hartanah ini disewakan sepenuhnya kepada Schott Glass, peneraju global dalam teknologi kaca khas dan bahan canggih.
"Hartanah kedua pula diperoleh daripada Rancak Beta Sdn. Bhd terletak di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah di Johor iaitu sebuah hab logistik utama di selatan Malaysia. Aset ini meliputi kawasan seluas 3.8 hektar dan menempatkan sebuah gudang setingkat yang disewakan sepenuhnya kepada Maersk, syarikat logistik bertaraf antarabangsa.
"Kedua-dua aset ini merupakan bangunan industri berprestasi tinggi yang terletak di zon ekonomi utama di luar Lembah Klang dan menawarkan penyewaan jangka panjang yang stabil dengan penyewa berkualiti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Melalui pemerolehan ini, aset industri PHB kini menyumbang sehingga 10% daripada keseluruhan portfolio hartanah pelaburan syarikat.
Tambahnya, dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap ruang industri dan logistik berkualiti, PHB kekal fokus untuk meneroka sektor industri bernilai tinggi bagi mengoptimumkan prestasi jangka panjang dan mengekalkan pulangan yang stabil kepada pemegang unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB),” katanya.
"Pemerolehan ini selari dengan matlamat PHB untuk meningkatkan pulangan pelaburan serta mengoptimumkan peruntukan sektor dalam portfolio hartanah syarikat bagi menjana pendapatan yang lebih stabil, mampan dan kukuh untuk jangka masa panjang," katanya.- DagangNews.com
standard
