Phil Spencer Bersara dan Sarah Bond Pula Letak Jawatan Daripada Xbox

TechnologyGaming
21 Feb 2026 • 7:08 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Barisan pengurusan perniagaan Xbox di Microsoft mengalami perubahan besar minggu ini selepas Phil Spencer bersara dan Sarah Bond yang selama ini dipercayai akan menggantikan beliau telah meletakkan jawatan menurut laporan IGN.

Jawatan Spencer diambil alih oleh Asha Sharma yang sebelum ini memegang jawatan Presiden Microsoft CoreAI dengan beliau melapor diri terus kepada Satya Nadella. Sebelum menyertai Microsoft, beliau memegang jawatan sebagai COO di Instacart dan Timbalan Presiden di Meta.

image is not available
Phil Spencer

Spencer mengesahkan beliau bersara selepas 38 tahun bersama Microsoft dimana beliau menyertai syarikat perisian besar ini sebagai seorang pelatih industri pada tahun 1988. Beliau menyertai pasukan Xbox pada tahun 2001 sebelum mengetuainya pada tahun 2014.

Beliau amat sinonim dengan Xbox seperti Ken Kutaragi kepada PlayStation suatu ketika dahulu. Keputusan Sarah Bond meletakkan jawatan adalah agak merisaukan kerana sejak dua tahun kebelakangan ini beliau menjadi “wajah” baharu setiap kali pengumuman mengenai Xbox dilakukan.

image is not available
Asha Sharma

Pelantikan Sharma yang berlatarbelakangkan kecerdasan buatan (AI) adalah sedikit merisaukan golongan gamer yang percaya dengan teori Microsoft secara senyap ingin membunuh konsol Xbox. Tetapi dalam pengumuman pertama beliau pagi ini beliau menyatakan tiga komitmen besar kepada peminat Xbox.

Pertama beliau mengesakan komitmen Microsoft akan terus menghasilkan permainan untuk konsol menerusi studio di bawah payung mereka, melakukan pelaburan ke dalam IP yang dipegang dan menyokong idea baharu serta mengambil risiko menghasilkan permainan dalam kategori serta pasaran baharu,.

Kedua pula akan terus menyokong Xbox untuk peminat tegar yang sudah memberikan komitmen terhadap konsol ini sejak 25 tahun lalu. Akhir sekali beliau tidak akan membanjiri Xbox dengan “sampah AI” yang mula merebak ke dalam industri permainan video.