Phu Quoc pikat pelancong Muslim menerusi kemudahan solat dan jaminan makanan halal

18 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Phu Quoc pikat pelancong Muslim menerusi kemudahan solat dan jaminan makanan halal Image from: Phu Quoc pikat pelancong Muslim menerusi kemudahan solat dan jaminan makanan halal liza18/09/2026 - 09:00 Phu Quoc, Vietnam Daripada Kamaliza Kamaruddin di Vietnam liza@dagangnews.com

PHU QUOC 18 Sept - Kewujudan masjid, surau serta pilihan restoran halal di pulau peranginan Phu Quoc, Vietnam kini  menjadi antara tarikan yang mampu membantu destinasi berkenaan menarik lebih ramai pelancong Muslim, khususnya dari Malaysia.

 

Kemudahan berkenaan memberi pilihan kepada pelancong Muslim untuk menunaikan ibadah dengan lebih mudah serta mendapatkan makanan halal sepanjang berada di pulau tersebut.

 

Malah, terdapat restoran halal di Phu Quoc yang mempunyai pengiktirafan dari Vietnam National Halal serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang membolehkan pelancong Malaysia terutama orang Islam menikmati makanan tanpa sebarang keraguan.

 

Penulis berpeluang menyertai lawatan empat hari tiga malam ke Phu Quoc bermula 15 September 2026 yang dianjurkan Sun PhuQuoc Airways (SPA) dengan kerjasama Wifadah Travel & Tours selaku General Sales Agent (GSA) dan wakil komersial syarikat penerbangan itu di Malaysia.

 

Selain pengamal media, turut menyertai lawatan itu ialah wakil agensi pelancongan Malaysia seperti Andalusia Travel, TH Travel, Wiya Travel, Tripfez, Mitra Malaysia, Nuzha Travel dan Suka Travel. 

 

T
Bernard Chee 

 

Pengurus Pemasaran Wifadah Travel, Bernad Chee berkata SPA sangat menekankan kepentingan dan keselesaan pelancong Muslim terutama yang membabitkan hidangan halal di dalam penerbangan ke Phu Quoc.

 

"Semua resort dan hotel yang dimiliki Sun Group seperti La Festa Phu Quoc serta JW Marriott Phu Quoc juga boleh menyediakan hidangan halal berdasarkan permintaan pelancong Islam.

 

"Selain itu, Sun Group juga menyediakan kemudahan surau di Sun World Hon Thom untuk memberikan kemudahan beribadah kepada pelancong Islam ketika berada di taman tema pulau tersebut.

 

"Ini semua adalah komitmen Sun Group untuk menyantuni pelancong Muslim agar terus memilih Phu Quoc sebagai destinasi percutian bersama keluarga dan sahabat mereka," katanya kepada DagangNews di Phu Quoc.

 

T
Restoran pertama milik rakyat Malaysia di Phu Quoc 

 

T
Makanan halal semakin mudah didapati di Phu Quoc 

 

Status Halal Jadi Nilai Tambah

Strategi menarik lebih ramai pelancong Malaysia dibuat berteraskan tiga aspek utama iaitu meningkatkan kesedaran, memudahkan perjalanan serta memberi keyakinan kepada pelancong Muslim terhadap kemudahan mendapatkan makanan halal di Phu Quoc.

 

Bernard berkata makanan halal dan ruangan khas untuk mengerjakan solat merupakan antara perkara yang diberi perhatian SPA kerana kedua-duanya berkait rapat dengan pengalaman harian pelancong Muslim ketika berada di luar negara.

 

"Selain restoran halal, kewujudan masjid dan surau di beberapa lokasi di Phu Quoc turut memberi kemudahan kepada pelancong untuk merancang waktu ibadah sepanjang perjalanan mereka.

 

"Terbaharu, Masjid Al Rahman yang terletak berdekatan lapangan terbang telah dibuka secara rasmi pada Jun lalu.

 

"SPA mahu meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia bahawa Phu Quoc bukan sekadar menawarkan tarikan pantai dan resort, malah kini mempunyai kemudahan yang semakin memenuhi keperluan pelancong Muslim," katanya.

 

T
Masjid Al Rahman di Phu Quoc 

 

T
Surau yang disediakan di Sun World Hon Thom untuk kemudahan pelancong Muslim di taman tema tersebut

 

T
Antara ruang solat yang disediakan pengurusan sebuah pusat jualan mutiara di Phu Quoc 

 

Penerbangan terus mudahkan akses

Pembukaan laluan penerbangan terus Kuala Lumpur–Phu Quoc yang dilancarkan SPA pada 1 September 2026 pula dilihat sebagai pemangkin kepada usaha berkenaan kerana ia menawarkan akses lebih mudah kepada pelancong Malaysia.

 

Dengan jarak perjalanan hanya 90 minit, Bernard berkata SPA berharap Phu Quoc akan menjadi pilihan baharu pelancong Malaysia selain destinasi serantau sedia ada.

 

"Pada masa sama, SPA mahu mengubah persepsi bahawa Phu Quoc hanya menawarkan percutian berasaskan pantai dengan mengetengahkan pelbagai pengalaman lain termasuk alam semula jadi, aktiviti keluarga, makanan dan hiburan," katanya.

 

T

 

T

 

Kerjasama industri perkukuh ekosistem 

Bagi memperkasakan lagi industri pelancongan di Phu Quoc, SPA juga sedang meningkatkan kerjasama dengan hotel, resort, restoran dan agensi dan penggiat pelancongan di pulau itu untuk membangunkan ekosistem pelancongan mesra Muslim.

 

"Usaha ini sedang dipertingkatkan kerana kemudahan mendapatkan makanan halal dan menunaikan solat akan turut menarik lebih ramai pelancong Muslim dari seluruh dunia.

 

"SPA juga melalui Wifadah Travel sedang bekerjasama dengan agensi pelancongan Malaysia bagi membangunkan pakej yang menggabungkan penerbangan terus, penginapan, pilihan makanan halal serta aktiviti yang sesuai untuk pelancong Muslim dan keluarga.

 

T
Penulis (dua dari kanan) bersama Bernard (tengah) serta wakil agensi pelancongan yang menyertai kunjungan ke Phu Quoc bagi meninjau kemudahan disediakan untuk pelancong Muslim

 

"Penyampaian maklumat yang lebih menyeluruh mengenai lokasi restoran halal, masjid, surau, hotel mesra Muslim dan tarikan yang sesuai untuk keluarga juga penting bagi meningkatkan keyakinan pelancong yang pertama kali berkunjung ke pulau ini," katanya.

 

Kerjasama lebih erat antara pemain industri kedua-dua negara turut berpotensi memberi manfaat kepada sektor berkaitan seperti hospitaliti, makanan dan minuman, pengangkutan serta pengusaha produk pelancongan tempatan.

 

Bagi SPA, usaha memperkukuh segmen pelancong Muslim Malaysia merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk meningkatkan daya tarikan Phu Quoc, di samping memperluas hubungan pelancongan antara Malaysia dan Vietnam. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved