
SHAH ALAM, 18 SEPT: Presiden baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan menyasarkan Harimau Malaya melangkah ke final Piala ASEAN FIFA di Jakarta, Indonesia yang berlangsung dari 25 September hingga 5 Oktober ini.
Beliau berkata sasaran itu bersandarkan barisan pemain terbaik yang dimiliki negara ketika ini, meskipun mengakui keputusan dalam bola sepak sukar dijangka, lapor Berita Harian.
“Sudah tentunya sejak dulu lagi, kalau kita masuk kejohanan itu kita hendak yang terbaik. Samalah seperti hari ini, esok lusa Piala ASEAN.
“Kita hendak negara kita, Harimau Malaya berjaya, setidak-tidaknya dapat masuk ke final.
“Tapi kita kena maklum juga, jangan kita bergantung harapan terlampau tinggi sebab bola sepak ini biasalah, kalah menang. Apa pun yang kita buat, kita mesti pastikan pasukan kita lakukan yang terbaik,” katanya.
Ab Ghani berkata beliau yakin skuad negara mampu memberikan saingan selepas melihat senarai pemain yang dipilih untuk membawa cabaran Malaysia pada kejohanan sulung yang diperkenalkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu.
“Insya-Allah, Alhamdulillah kali ini apa yang dihantar saya nampak di peringkat ASEAN FIFA ini, pemain yang terbaik yang ada di pasukan kita hari ini.
“Saya yakin dan percaya kita boleh membuat sesuatu permainan dan keputusan baik akan kita perolehi,” katanya.
Keyakinan itu hadir selepas pengendali interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengumumkan senarai 23 pemain bagi kejohanan berkenaan, dengan beberapa tonggak utama kembali memperkuatkan skuad negara.
Antaranya bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dan penyerang Selangor, Faisal Halim selain pemain berdarah kacukan yang beraksi bersama kelab Jepun, Cerezo Osaka, Dion Cools.
Turut disenaraikan ialah tiga muka baharu yang tersedia untuk mewakili Malaysia, iaitu Bergson da Silva, Manuel Hidalgo dan Brad Tapp.
Bergson dan Hidalgo masing-masing mengisi posisi serangan serta tengah, manakala Brad Tapp memperkukuh pilihan di bahagian pertahanan.
Malaysia hanya mengekalkan lima pemain daripada skuad Piala ASEAN pada Julai lalu, sekali gus menyaksikan perubahan besar bagi membentuk pasukan lebih kompetitif kali ini.
Dalam kejohanan itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Singapura dan Bangladesh.
Hanya juara kumpulan mara ke final yang dijadual berlangsung di Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 Oktober.
Harimau Malaya membuka kempen menentang Bangladesh pada 25 September sebelum berdepan Indonesia tiga hari kemudian, diikuti aksi terakhir kumpulan menentang Singapura pada 1 Oktober.






