
HARIMAU Malaya harus segera keluar daripada episod kecewa untuk memburu satu lagi kejayaan yang boleh dianggap bermakna jika mampu menewaskan Vietnam buat kali pertama sejak 12 tahun lalu.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada aksi penentuan tempat ketiga Piala ASEAN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Stadium Gelora Bung Karno, petang ini.
Pemain naturalisasi negara, Paulo Josue berkata, seluruh pasukan tidak boleh terlalu kecewa kerana gagal layak ke final Piala ASEAN FIFA kerana masih ada satu lagi misi besar yang harus dilunaskan.
“Kami kena lihat apa perancangan jurulatih untuk hadapi perlawanan selepas ini, namun saya fikir segalanya sedang berjalan lancar. Saya harap pemain dapat faham apa yang rancangkan untuk kami laksanakan dan sudah pasti kami juga beri perhatian kepada tugasan selepas ini.
“Jadi, kita perlu bangkit semula, mengharungi perlawanan seterusnya dan cuba tamatkan saingan di kedudukan sehabis baik. Saya fikir prestasi kami cukup bagus,” katanya.
Kali terakhir skuad negara kalahkan Vietnam adalah ketika menang 4-2 pada separuh akhir kedua Piala AFF, Disember 2014 yang ketika itu dilatih oleh Datuk Dollah Salleh.
Sejak aksi Disember 2014, Harimau Malaya hanya berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 pada perlawanan akhir pertama Piala AFF 2018, manakala kemenangan 4-0 pada kelayakan Piala Asia, Jun tahun lalu dibatalkan.
The post Piala ASEAN FIFA: Josue gesa bangkit lupakan kecewa appeared first on Kosmo Online.


