
PRESTASI positif yang dipamerkan beberapa pemain pada kempen Piala ASEAN 2026 kali ini menjadi bukti Harimau Malaya masih mempunyai asas kukuh untuk kembali ‘mengaum’ di pentas antarabangsa.
Walaupun cerita skuad negara lebih dibayangi kontroversi membabitkan isu pemain warisan, kualiti yang dipamerkan skuad campuran kali ini menyerlahkan Malaysia sentiasa ada pemain berpotensi untuk membawa cabaran negara.
Bekas pemain kebangsaan, Asmawi Bakiri berkata, paling utama adalah setiap pemain sekarang harus sentiasa bermotivasi untuk mengekalkan prestasi terbaik sekali gus mampu memberi nilai tambah apabila tonggak utama kembali ke dalam pasukan.
“Saya tertarik dengan cara penyusunan (pengendali negara) Tan Cheng Hoe kali ini, membawa masuk senarai seimbang antara pemain veteran dan pemain muda. Apa yang saya tengok, pemain dipanggil kali ini sesuai dengan kejohanan yang mungkin berstatus sederhana.
“Dalam keadaan isu yang terpalit, apabila dipanggil, mereka seolah-olah mahu melepaskan sesuatu (tunjukkan aksi terbaik). Saya rasa ini percaturan yang bagus sebagai permulaan untuk kita bangkit dan susun balik kekuatan pasukan.
“Apabila pemain utama daripada kelab seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor kembali, pasukan kita akan kembali (kuat) dan sekurang-kurangnya pemain daripada skuad sekarang boleh beri ‘tambahan’ kepada pasukan negara,” katanya.
Selepas memulakan saingan dengan kemenangan ke atas Myanmar dan Laos, Harimau Malaya terpaksa akur apabila tewas 0-2 kepada Thailand pada perlawanan ketiga Kumpulan B di Stadium Rajamangala, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, Cheng Hoe bertegas peluang Harimau Malaya untuk mara ke separuh akhir Piala ASEAN 2026 masih terbuka luas dan harus kalahkan Filipina pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Sabtu ini.
The post Piala ASEAN: Harimau Malaya belum hilang ‘taring’ appeared first on Kosmo Digital.





