
PETALING JAYA: Gesaan boikot yang dilaungkan Ultras Malaya nyata tidak memberi kesan apabila penyokong Harimau Malaya terus membanjiri Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras dengan kesemua tiket untuk penyokong tuan rumah habis terjual menjelang aksi terakhir Kumpulan B Piala ASEAN 2026 menentang Filipina malam esok.
Situasi itu menyaksikan stadium berkapasiti lebih 18,000 penonton berkenaan dijangka dipenuhi penyokong yang mahu memberikan sokongan padu kepada skuad negara dalam perlawanan hidup mati memburu tiket ke separuh akhir.
Sambutan luar biasa tersebut membuktikan sentimen boikot yang digerakkan segelintir pihak gagal menghalang peminat bola sepak tempatan daripada terus berdiri teguh di belakang Harimau Malaya.
Keghairahan penyokong mendapatkan tiket menunjukkan kepercayaan dan kecintaan mereka terhadap skuad kebangsaan masih utuh meskipun arena bola sepak negara berdepan pelbagai isu kebelakangan ini.
Kehadiran puluhan ribu penyokong di Cheras dijangka menjadi suntikan semangat yang amat diperlukan oleh anak buah Tan Cheng Hoe yang wajib meraih kemenangan untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.
Sokongan daripada ‘pemain ke-12’ itu juga diyakini mampu membantu para pemain negara mengharungi tekanan tinggi dalam aksi yang bakal menentukan nasib mereka dalam kejohanan.
Petanda awal bahawa stadium bakal mencatat kehadiran penuh sebenarnya sudah dapat dilihat apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan kebanyakan tiket sudah habis dijual sejak semalam.
“Tiket terbuka bagi pintu B1, B2 dan C1 sudah habis terjual dan hanya tinggal tiket bagi pintu B3,” menurut kenyataan yang dimuat naik FAM menerusi platform rasminya.
Tidak lama selepas pengumuman tersebut, baki tiket yang masih ada turut habis dijual, sekali gus mengesahkan semua tempat duduk yang diperuntukkan kepada penyokong tuan rumah telah ditempah.
Difahamkan, hanya kuota tiket yang dikhaskan kepada penyokong Filipina masih belum habis dijual menjelang sepak mula perlawanan.
Rekod jualan itu jauh mengatasi kehadiran ketika Malaysia menentang Laos di venue sama sebelum ini yang mencatatkan 10,044 penonton walaupun berlangsung pada hari bekerja.-UTUSAN
The post Seruan boikot tidak layan, penyokong Harimau Malaya banjiri Cheras appeared first on Utusan Malaysia.






