
REPUTASI Vietnam sebagai pasukan pilihan Piala ASEAN 2026 tidak seharusnya mengganggu tumpuan Harimau Malaya menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di pentas separuh akhir pada 16 dan 19 Ogos ini.
Ketika reputasi atau pun perkiraan atas kertas lebih berpihak kepada lawan, skuad negara dituntut membuktikan bahawa segala ramalan boleh dipatahkan pada perlawanan sebenar, sekali gus mencipta cerita penuh kejutan pada penganjuran kali ini.
Pengendali pasukan negara, Tan Cheng Hoe berkata, semua orang harus memiliki cita-cita besar walaupun sedar persiapan Harimau Malaya kali ini tidak begitu sempurna.
“Mungkin awalnya tidak ada sesiapa beri kita peluang untuk layak ke separuh akhir kerana memang dari awal lagi kita tahu persiapan pasukan kurang lancar, tetapi disebabkan keinginan pemain dan kita ada barisan jurulatih yang sentiasa memberi tunjuk ajar kepada pemain.
“Sudah pasti Vietnam adalah pasukan pilihan untuk kejohanan kali ini, namun kita juga ada pasang impian. Kami perlu analisa beberapa perlawanan Vietnam dan kami kena tingkatkan lagi intensiti permainan sendiri serta kena tahu kawal situasi penuh tekanan,” katanya.
Pada perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam kelmarin, jaringan tunggal G. Pavithran udah cukup untuk memastikan kemenangan 1-0 Harimau Malaya ke atas Filipina.
Mengulas mengenai aksi dengan Filipina, Cheng Hoe mengakui anak-anak buahnya tidak berada pada tahap terbaik tetapi gembira kerana mampu mengesahkan tiga mata penting untuk layak ke separuh akhir.
“Prestasi individu tidak berada di tahap yang dimahukan di mana dalam aspek fizikal, kami mungkin tewas kepada Filipina. Kami juga tidak mencipta banyak peluang, namun dalam bola sepak, kami perlu tajam di depan gol.
“Paling penting adalah kami dapatkan tiga mata dan bagi saya, masih ada ruang untuk kami baiki persembahan pasukan. Pemain muda juga perlukan masa untuk bermain di pentas antarabangsa,” katanya.
The post Piala ASEAN: Harimau Malaya perlu baiki intensiti appeared first on Kosmo Digital.






