
KAPTEN skuad Harimau Malaya, Paulo Josue percaya semangat juang serta keyakinan utuh dalam kalangan pemain bakal menjadi kunci utama buat pasukan dalam misi mara ke separuh akhir Piala ASEAN 2026 kali ini.
Sebagai rekod, momentum skuad negara ketika ini direntap susulan tewas 0-2 kepada Thailand dalam aksi ketiga Kumpulan B di Stadium Rajamangala, Bangkok, Sabtu lepas.
Josue yang kini berusia 37 tahun mengakui sudah menjadi tugas sebagai pemain senior untuk menaikkan moral rakan-rakan sepasukan untuk bantu tonggak muda terus bangkit.
Menurut pemain naturalisasi negara itu, Harimau Malaya kini memiliki beberapa pemain muda yang mempunyai potensi besar untuk pergi lebih jauh sekiranya diberikan bimbingan serta diberikan keyakinan yang cukup.
“Kita dapat lihat ramai pemain yang mempunyai potensi. G. Pavithran menunjukkan aksi yang sangat baik dan Ubaidullah Usman mula menjadi pemain yang matang dan banyak permainan dalam Liga Super.
“Saya fikir jurulatih adalah individu yang tepat untuk berikan keyakinan dan saya harap kami boleh terus berkembang untuk membuat kejutan,” katanya.
Malaysia yang kini meraih enam mata bakal mengharungi aksi terakhir Kumpulan B menentang Filipina di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, Sabtu ini.
Sementara itu, Josue yang sudah meledak tiga gol mengakui kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe menjadi pencetus kepada prestasinya.
“Dia menunjukkan kepercayaan yang tinggi termasuk memberikan lilitan kapten. Jadi saya sangat gembira kerana ia memberi suntikan yang penting buat mana-mana pemain tanpa mengira usia,” katanya.
The post Piala ASEAN: Misi ke separuh akhir kekal relevan appeared first on Kosmo Digital.






