
PENGENDALI interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe percaya pintu harapan buat anak buahnya melakar kejutan mara ke final Piala ASEAN 2026 belum tertutup sepenuhnya selepas tewas 0-2 kepada Vietnam, kelmarin.
Pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Kuala Lumpur, Cheras itu, impian pasukan negara untuk meraih bekalan positif tidak kesampaian apabila kealpaan benteng pertahanan pada penghujung setiap babak dibocori skuad Naga Emas.
Menurut Cheng Hoe, dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 90 minit untuk mempamerkan kebangkitan luar biasa pada aksi separuh akhir kedua di Stadium My Dinh, Hanoi, malam esok.
Cheng Hoe berkata, semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh pasukan terutama di benteng pertahanan untuk mengekang asakan Vietnam wajar diberi pujian.
“Sebagai jurulatih, saya kecewa dengan keputusan tetapi, saya sangat bangga dengan pemain-pemain saya, mereka telah memberikan yang terbaik. Mereka menunjukkan keyakinan dan komitmen dalam permainan.
“Kita tahu bermain menentang Vietnam di separuh akhir sememangnya satu tugas yang sangat sukar daan kita tahu mereka mempunyai pasukan yang terbaik dan mempunyai banyak pengalaman.
“Namun, pasukan masih mempunyai 90 minit lagi dan kita belum kalah dengan perjuangan ini. Kita perlu pergi ke sana dengan semangat baharu selain cuba pulih dalam tempoh dua hari ini.
“Barisan kejurulatihan akan menganalisis kelemahan yang ada walaupun kita tahu tidak mudah bermain di Hanoi dengan sorakan ribuan peminat mereka,” katanya.
Benteng Harimau Malaya telah dibocori dua kali hasil serangan balas pantas yang disudahkan oleh Nguyen Xuan Son pada minit ke-45 sebelum jaringan sendiri Faris Danish Asrul pada penghujung babak kedua.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe enggan menyalahkan Faris walaupun gol kedua lawan itu seakan membunuh momentum pasukan ketika memburu gol penyamaan.
“Saya rasa pada separuh masa pertama kita mencipta beberapa peluang, tetapi penyudah tidak begitu klinikal sebelum hilang fokus pada penghujung babak hingga dibolosi.
“Pada separuh masa kedua, kita mengawal permainan dengan sangat baik juga, tetapi malangnya gol kedua, gol sendiri itu benar-benar merentap semangat pemain,” katanya.
Kali terakhir skuad negara layak ke final Piala ASEAN adalah pada edisi 2018 ketika tewas kepada Vietnam dengan agregat 2-3.
The post Piala ASEAN: Peluang belum tertutup rapat appeared first on Kosmo Digital.




