Malaysia akur seri dengan Perancis

17 Aug 2026 • 10:31 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia akur seri dengan Perancis

PETALING JAYA: Impian skuad hoki kebangsaan untuk meraih tiga mata berharga dalam kempen Piala Dunia tidak kesampaian apabila terpaksa akur dengan keputusan seri 3-3 menentang Perancis dalam aksi Kumpulan B di Arena Belfius, Wavre, hari ini.

Skuad kendalian Brendon Carolan itu terlebih dahulu mendahului permainan menerusi gol padang Fitri Saari seawal minit kelima berpunca daripada hantaran Mohamad Akhimullah Anuar Esook.

Tersentak dengan jaringan tersebut, juara Piala Negara-Negara 2026, Perancis menyamakan kedudukan menerusi gol pukulan sudut penalti Victor Charlet pada minit ke-19 sebelum Louis Haertelmeyer menggandakan jaringan pada minit ke-37.

Semangat juang Speedy Tigers wajar diberi pujian apabila mereka berjaya menyamakan kedudukan apabila Shello Silverius menjaringkan gol pada minit ke-45 menerusi pukulan sudut penalti sebelum Akhimullah meledak gol ketiga pasukan pada minit ke-57 hasil hantaran Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.

Bagaimanapun, Malaysia hanya boleh menyalahkan diri sendiri apabila kelebihan tersebut tidak dipertahankan selepas Timothee Clement berjaya menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki satu minit.

Malaysia hampir memperoleh gol keempat pada minit terakhir permainan bagaimanapun jaringan Fitri dibatalkan pengadil perlawanan.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Akhimullah berkata, dia tetap bersyukur walaupun sekadar berjaya mendapatkan satu mata.

“Nasib kami tidak baik sebab patut boleh dapat tiga mata. Kami bangkit daripada kekecewaan sebelum ini apabila tewas kepada Jerman.

“Kami belajar banyak perkara daripada kekalahan tersebut. Untuk perlawanan hari ini kami tidak fikirkan keputusan sebaliknya kami hadir untuk memberikan aksi terbaik,” kata Akhimullah.

Malaysia sebelum ini tewas 5-1 kepada Jerman dalam aksi pembukaan kempen dan selepas ini mereka dijadual menentang tuan rumah, Belgium, Rabu ini. – UTUSAN

 

The post Malaysia akur seri dengan Perancis appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved