
ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengganas apabila membelasah Penang FC 4-1 dalam aksi timbal balik suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, di sini petang tadi, sekali gus melangkah ke separuh akhir dengan agregat besar 11-3.
Kemenangan itu menyaksikan juara bertahan berkenaan mengesahkan kemaraan dengan penuh bergaya selepas turut membenam skuad Harimau Kumbang 7-2 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 20 September lalu.
Skuad kendalian Xisco Munoz itu kini menanti sama ada Kuala Lumpur City FC (KL City FC) atau DPMM FC sebagai lawan di separuh akhir selepas kedua-dua pasukan berkenaan dijadual bertemu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Ahad ini.
Berbekalkan kelebihan lima gol, Harimau Selatan tetap mempamerkan aksi agresif apabila menguasai permainan sejak wisel permulaan, sekali gus menyukarkan anak buah Wan Rohaimi Ismail mengembangkan rentak permainan.
JDT memperoleh peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan pada minit kelapan apabila bola yang ditendang Nacho Mendez di dalam kotak penalti terkena tangan Jose Porteira, menyebabkan pengadil, Izwan Abdullah menghadiahkan sepakan penalti.
Bergson da Silva yang diberi tanggungjawab menyempurnakan sepakan itu tidak berdepan masalah apabila melepaskan rembatan leret ke penjuru kiri gawang pada minit ke-12 untuk menewaskan penjaga gol, Mohamad Ramdhan Ab Hamid.
Harimau Selatan terus mengasak dan hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-18 menerusi Shahab Zahedi, namun rembatan kencang penyerang itu berjaya ditangkap kemas oleh Mohamad Ramdhan.
Tekanan berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Mendez meledak gol kedua pada minit ke-24 menerusi penyudah mudah selepas menerima umpanan lambung tepat daripada Dejan Petrovic, sekali gus meletakkan JDT selesa mendahului 2-0 dan 9-2 secara agregat.
Bergson berpeluang menambah jaringan peribadi pada minit ke-28, namun golnya dibatalkan selepas Yagor Cesar yang melakukan hantaran dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
JDT bagaimanapun tidak perlu menunggu lama untuk menambah derita pelawat apabila Zahedi meledak gol ketiga sebelum tamat babak pertama menerusi rembatan di dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Bergson, sekali gus menyaksikan tuan rumah mendahului 3-0.
Bersambung babak kedua, JDT terus mengawal permainan dan melengkapkan jaringan keempat pada minit ke-72 menerusi Hidalgo yang melepaskan rembatan padu dari jarak kira-kira 25 meter selepas situasi sepakan sudut gagal dimanfaatkan kapten Penang FC, Stefano Brundo.
Penang FC bagaimanapun berjaya mencuri satu gol pada minit ke-86 apabila Brundo menyempurnakan sepakan percuma dari jarak kira-kira 25 meter yang menerjah jaring, sekali gus menewaskan penjaga gol JDT, Christian Abad.
Jaringan itu bagaimanapun tidak mengubah nasib pelawat apabila JDT mengekalkan kemenangan 4-1 untuk mara ke separuh akhir dengan agregat 11-3, sekali gus meneruskan misi mempertahankan kejuaraan Piala FA musim ini. – KOSMO! ONLINE
The post Piala FA: JDT baham Penang FC, agregat 11-3 appeared first on Kosmo Online.






