
PETALING JAYA – Finalis Piala FA 2024, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC semakin hampir mengulangi pertembungan ‘epik’ itu selepas masing-masing mencatat kemenangan dalam aksi separuh akhir pertama, sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium MB Petaling Jaya, skuad Gergasi Merah mempamerkan kebangkitan selepas ketinggalan 0-1 untuk menewaskan Kuching City dengan keputusan 2-1.
Pasukan pelawat yang dikendalikan oleh Aidil Sharin Sahak meraih gol pembukaan hasil jaringan Ramadhan Saifullah seawal minit kesembilan.
Eduardo Sosa memastikan pelawat tidak gembira terlalu lama apabila meledak gol penyamaan berselang 10 minit kemudian.
Pemain import dari Venezuela itu menjadi wira apabila meledak gol kemenangan untuk memastikan Selangor meraih bekalan positif pada minit ke-63 dengan keputusan kekal hingga wisel penamat.
Sementara itu, di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, JDT menundukkan DPMM FC 2-0 dengan Bergson da Silva membuka tirai jaringan pada minit ke-21 selepas kesilapan pertahanan DPMM, Ebenezer Abban.

Skuad kendalian Xisco Munoz kemudian menggandakan kelebihan menerusi Eddy Israfilov pada minit ke-72 untuk meletakkan Harimau Selatan dalam kedudukan selesa sebelum aksi kedua di Stadium Sultan Ibrahim, bulan depan.
JDT dan Selangor pernah bertemu pada final Piala FA 2024 yang menyaksikan Harimau Selatan muncul juara menerusi kemenangan 6-1. – KOSMO! ONLINE
The post Piala FA: JDT, Selangor hampiri ulangan final 2024 appeared first on Kosmo Online.






