
KUALA LUMPUR – Bekal satu gol pada perlawanan pertama sudah cukup buat Kuala Lumpur City untuk mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir Piala FA, musim ini.
Pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan untuk mengesahkan kejayaan The City Boys yang layak menerusi kejayaan 1-0 secara agregat.
Dalam aksi kali ini turut menyaksikan penjaga gol KL City, Ameerul Eqhwan Mohd Fauzi muncul antara pemain paling menyerlah apabila bertindak cemerlang menafikan beberapa peluang terbaik Perak.
Perak yang hadir selaku wakil Liga A1 Semi Pro langsung tidak menunjukkan rasa gentar apabila dilihat berjaya mengimbangi kualiti pasukan tuan rumah.
KL City sebaliknya dilihat seakan tidak mempunyai ‘sengat’ di jentera serangan, sebaliknya Perak mampu tampil lebih berbahaya namun beberapa peluang terbaik dicipta gagal disudahkan dengan lebih sempurna.
Keputusan Datuk Dollah Salleh memasukkan Fazrul Amir Md Zaman berjaya menghadirkan impak positif buat KL City.
Walaupun dilihat lebih garang di babak kedua, kelekaan benteng KL City sering menghadirkan situasi cemas namun kesempatan itu gagal disudahkan dengan lebih sempurna oleh penyerang Perak.
Tindakan pantas pertahanan tuan rumah, Giancarlo Gallifuoco merebahkan badannya berjaya menghalang rembatan Harry Danish Mohd Haizon, sekali gus menafikan hajat Perak memperoleh gol pertama.
Sementara itu, dalam aksi di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Terengganu berjaya meraih kemenangan 3-2 ke atas DPMM FC.
Ia memberikan bekal tipis buat Terengganu sebelum melayan kunjungan DPMM FC pada perlawanan timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 16 September ini. – KOSMO! ONLINE
The post Piala FA: KL City tempah tiket suku akhir appeared first on Kosmo Online.






