
PENGENDALI Kelantan City, Alfredo Gonzalez seperti hilang kata-kata selepas wakil Liga A1 Semi Pro itu mencipta magis tersendiri ketika melayakkan diri ke pusingan suku akhir saingan Piala FA musim ini.
Pada aksi timbal balik pusingan 16 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi kelmarin, Kelantan City tewas 2-3 kepada Negeri Sembilan, namun kemenangan 2-0 ketika perlawanan pertama mengesahkan kemaraan mereka apabila menang 4-3 secara agregat.
“Saya ‘pindahkan’ mentaliti tidak mengalah kepada pemain, sentiasa yakin dengan kemampuan sendiri. Semua orang tahu perbezaan antara Negeri Sembilan dan Kelantan City, namun inilah bola sepak, 11 lawan 11.
“Selagi pengadil tidak meniupkan wisel penamat, kami perlu berikan segala-galanya. Adakalanya menang, tewas dan jika kami kalah, kami perlu bangkit semula dan inilah bola sepak,” katanya.
Kemenangan ke atas Negeri Sembilan menyaksikan Kelantan City akan menentang Kuching City yang menewaskan satu lagi wakil Kelantan, iaitu Kelantan Red Warriors FC (KRW FC) 5-1 secara agregat.
Mengulas lanjut, Gonzalez percaya faktor semangat juang serta kemahuan tinggi pemain menjadi kunci utama kepada kejayaan pasukan itu, terutamanya ketika mereka sedang berdepan keletihan.
“Sudah pasti di hujung-hujung permainan, semua pemain mula mengalami keletihan. Bagaimanapun, apabila kamu yakin dan terus berjuang, apa sahaja boleh berlaku,” ujar Gonzalez.
The post Piala FA: Kelantan City terus pamer ‘magis’ appeared first on Kosmo Online.






