
KANGAR – Selangor FC menghampiri pentas separuh akhir Piala FA selepas menang bergaya 4-1 ke atas Star City pada aksi suku akhir pertama di Stadium Tuanku Syed Putra, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan Star City kini memerlukan keajaiban untuk cuba mendapatkan sekurang-kurangnya empat gol pada aksi timbal balik di Petaling Jaya, 11 Oktober ini.
Penyerang sensasi, Chrigor Moraes membuktikan keputusan Selangor FC kekalkan khidmatnya adalah tepat apabila terus pamer ketajaman dengan merakam hatrik.
Walaupun Selangor FC memasuki bilik persalinan dengan memiliki kelebihan, aksi di babak pertama berlangsung agak seimbang.
Terdahulu, Moses Atede meletakkan Star City di depan pada minit ke-18 namun kelebihan itu hanya bertahan tiga minit, menyaksikan Moraes meledak gol penyamaan buat pelawat.
Minit ke-43, Vitor Pernambuco bijak meletakkan diri di kedudukan tepat untuk melepaskan rembatan kencang yang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Muhammad Farhan Abdul Majid buat kali kedua.
Enam belas minit selepas aksi bersambung, Selangor FC makin selesa, sekali lagi menerusi ketenangan Moraes yang menghukum kesilapan pemain lawan.
Aksi menarik terus dipamerkan kedua-dua pasukan namun pelawat dilihat lebih kreatif untuk mencipta peluang untuk menjaringkan gol.
Selepas dipalit kecewa kerana gagal menyudahkan peluang terhidang, Moraes melengkapkan malam gemilang buatnya apabila melengkapkan hatrik dengan menyumbangkan gol keempat The Red Giants pada minit ke-87. – KOSMO! ONLINE
The post Piala FA: Moraes pimpin Selangor FC hampiri pentas separuh akhir appeared first on Kosmo Online.






