
NABAWAN: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah kumpulan yang berperanan sama menjaga perkembangan pembelajaran murid di dalam mahupun luar sekolah.
Ketua Daerah Nabawan Ulin Datuk Pamiang berkata ibu bapa dan guru perlu saling bekerjasama dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain agar anak-anak dapat sentiasa diawasi.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Tinauh anjuran PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Salarom pada Khamis.
Menurut Ulin Program Tinauh berkenaan adalah bertujuan memberi gambaran jelas bahawa komuniti boleh bersatu dan bekerjasama melalui kepelbagaian budaya dan adat-istiadat.
“Apa yang penting objektif kita jelas memberi manfaat kepada semua pihak khususnya komuniti sekolah dan masyarakat setempat,” katanya.
Dalam pada itu menyentuh mengenai peranan atau sokongan kerajaan negeri Sabah terhadap PIBG di seluruh negeri Ulin berkata PIBG disarankan mengadakan lebih banyak program yang bersesuaian.
Katanya Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum ini sangat komited dalam membantu PIBG untuk mengadakan program melalui pelbagai inisiatif pendidikan.



