
JAKARTA: Pihak berkuasa pengangkutan di ibu negara Indonesia menggantung atau mengubah laluan beberapa perkhidmatan kereta api dan bas pada Jumaat susulan protes jalanan yang menurut media tempatan bertukar menjadi rusuhan hingga lewat malam.
Tunjuk perasaan oleh pelbagai kumpulan bermula pada pagi Khamis berhampiran bangunan Parlimen di tengah-tengah kawalan keselamatan ketat, sempena ulang tahun protes antikerajaan yang ganas pada tahun lalu.
Protes yang berlangsung selama dua minggu itu menjadi ujian awal terhadap pentadbiran Presiden Prabowo Subianto.
Ribuan anggota polis dikerahkan di Jakarta menjelang perhimpunan pada Khamis, ketika penunjuk perasaan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pelbagai dasar kerajaan dan menuntut hukuman lebih berat dikenakan terhadap pegawai yang melakukan rasuah.
Perhimpunan itu bersurai pada petang Khamis.
Namun, media tempatan melaporkan individu berbaju hitam masih berada di jalan raya lama selepas itu, membakar sebuah pondok polis dan dua motosikal, menutup jalan selain membaling batu termasuk kayu ke arah polis, yang bertindak balas menggunakan meriam air serta gas pemedih mata.
Seorang saksi Reuters terdengar beberapa bunyi letupan kuat berhampiran kawasan yang dilaporkan berlaku kekacauan itu.
Polis tidak segera memberikan respons pada Jumaat terhadap permintaan komen.
Beberapa laluan kereta api komuter di Jakarta digantung atau diubah pada Jumaat, sementara sistem bas bandar itu berkata, laluan berhampiran bangunan Parlimen terjejas akibat penutupan jalan.
Beberapa jalan tol berhampiran Parlimen turut ditutup, kata pengendalinya.
Polis Jakarta berkata, sebelum ini bahawa pihaknya telah mengerahkan 18,500 anggota untuk mengawal keselamatan di jalan-jalan ibu negara itu ketika kemarahan awam meningkat susulan kesukaran ekonomi dan jurang ketidaksamaan yang semakin melebar.. – AGENSI
The post Perkhidmatan bas, kereta api digantung susulan protes antirasuah di Jakarta appeared first on Utusan Malaysia.



