Pilihan Raya medan demokrasi, bukan gelanggang mencaci

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 5:41 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pilihan Raya medan demokrasi, bukan gelanggang mencaci

PILIHAN raya sepatutnya menjadi medan untuk rakyat memilih pemimpin yang terbaik, bukannya gelanggang untuk bermusuhan sesama sendiri. Inilah masanya parti politik dan calon yang bertanding mengetengahkan idea, menawarkan dasar serta meyakinkan rakyat tentang kemampuan mereka mentadbir negara. Malangnya, dalam keghairahan berkempen, ada kalanya perkara yang lebih menonjol bukan lagi idea atau dasar yang ditawarkan, sebaliknya tuduhan, penghinaan, makian dan serangan peribadi terhadap pihak lawan.

Apa yang lebih membimbangkan ialah sikap segelintir penyokong parti politik yang seolah-olah sudah tidak mengenal batas adab dan kesopanan. Hanya kerana berbeza parti atau menyokong pemimpin yang berlainan, mereka sanggup mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, memaki hamun dan menghina orang lain tanpa rasa bersalah. Ada juga yang begitu mudah menuduh seseorang dengan pelbagai perkara buruk tanpa sebarang bukti, semata-mata kerana individu tersebut berada di pihak yang tidak disukainya.

Keadaan ini dapat dilihat dengan jelas di media sosial. Cuba sahaja membaca ruangan komen berkaitan isu politik di Facebook, TikTok atau platform lain. Ada kalanya kita tertanya-tanya, ke manakah hilangnya adab dan kesantunan masyarakat kita? Perbincangan yang sepatutnya menjadi ruang bertukar pandangan akhirnya bertukar menjadi medan melepaskan kemarahan. Bahasa yang digunakan bukan sahaja kasar, malah ada yang begitu lucah dan keterlaluan sehingga tidak mencerminkan budaya masyarakat yang terkenal dengan kesopanan dan budi bahasa.

Lebih menyedihkan apabila perbuatan sebegini dianggap biasa, malah ada yang memuji penyokong yang paling lantang mencaci pihak lawan sebagai pejuang parti yang berani. Seolah-olah semakin kasar bahasa seseorang, semakin tinggi pula kesetiaannya kepada parti. Sedangkan keberanian sebenar bukanlah terletak pada kehebatan menghina orang lain, tetapi pada kemampuan mempertahankan pendirian dengan hujah yang bernas dan akhlak yang baik.

Persoalannya, apakah yang hendak kita perjuangkan sekiranya dalam usaha memenangkan parti, kita sanggup mengorbankan akhlak sendiri? Apakah maknanya memperjuangkan agama, bangsa dan negara jika pada masa yang sama lidah dan tulisan kita dipenuhi dengan cacian, fitnah dan penghinaan?

Dalam Islam, persoalan menjaga lidah dan tutur kata bukan perkara kecil. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bukanlah seorang mukmin itu orang yang suka mencela, melaknat, berkata keji dan berkata kotor.” (Riwayat al-Tirmizi).

Begitu juga dengan perbuatan menyebarkan berita palsu, fitnah dan tuduhan yang tidak berasas. Dalam dunia media sosial hari ini, sesuatu berita boleh tersebar kepada ribuan orang dalam masa yang singkat. Ada yang terus berkongsi sesuatu maklumat hanya kerana kandungannya memburukkan pihak lawan, tanpa terlebih dahulu memastikan sama ada berita tersebut benar atau sebaliknya.

Sedangkan Allah SWT telah mengingatkan dalam surah al-Hujurat, ayat 6 supaya setiap berita yang diterima hendaklah diselidiki terlebih dahulu agar kita tidak menzalimi orang lain akibat kejahilan, kemudian menyesali perbuatan tersebut.

Prinsip tabayyun ini amat penting ketika musim pilihan raya. Jangan kerana terlalu taksub kepada parti, apa sahaja berita buruk tentang pihak lawan terus dipercayai, manakala berita yang tidak menyenangkan parti sendiri pula ditolak mentah-mentah. Sikap seperti ini bukan sahaja tidak adil, malah boleh merosakkan hubungan sesama anggota masyarakat.

Sebenarnya, berbeza pandangan politik bukanlah suatu kesalahan. Dalam sebuah negara demokrasi, setiap rakyat mempunyai hak untuk memilih parti dan pemimpin yang diyakini mampu membawa kebaikan. Ada yang menyokong kerajaan dan ada yang memilih pembangkang. Perbezaan ini merupakan sebahagian daripada kehidupan berpolitik yang perlu diterima dengan hati terbuka.

Namun, yang tidak sepatutnya berlaku ialah apabila perbezaan politik menyebabkan hubungan persahabatan menjadi renggang, jiran tidak lagi bertegur sapa, malah hubungan kekeluargaan turut terjejas. Alangkah ruginya jika hubungan baik yang dibina selama bertahun-tahun akhirnya rosak hanya kerana berbeza pilihan ketika mengundi.

Dalam hal ini, pemimpin parti politik juga mempunyai tanggungjawab yang besar. Mereka bukan sahaja perlu menjaga ucapan dan tindakan sendiri, tetapi juga berani menegur penyokong yang melampaui batas. Jangan hanya lantang mengecam penghinaan yang dilakukan oleh pihak lawan, tetapi berdiam diri apabila penyokong sendiri melakukan perkara yang sama. Jika benar kita mahu membina budaya politik yang matang, kesalahan tetap perlu ditegur walaupun dilakukan oleh orang yang berada di pihak kita.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Ma’idah, ayat 8 yang bermaksud: “Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil, kerana sikap adil itu lebih dekat kepada takwa.”

Ayat ini sangat relevan dalam suasana politik hari ini. Kita tidak sepatutnya menghalalkan sesuatu perbuatan hanya kerana ia dilakukan oleh penyokong parti sendiri, sedangkan perbuatan yang sama dikecam apabila dilakukan oleh penyokong pihak lawan. Jika mencaci itu salah, maka ia tetap salah tanpa mengira siapa yang melakukannya.

Dalam menangani budaya politik yang semakin kasar ini, pihak berkuasa khususnya Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu memberikan perhatian serius. Penggunaan media sosial untuk menyebarkan fitnah, ancaman, penghinaan melampau dan kandungan yang menyalahi undang-undang tidak boleh dibiarkan sehingga menjadi budaya biasa dalam masyarakat.

Bagaimanapun, perkara yang lebih penting ialah memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara adil dan tanpa pilih kasih. Sekiranya penyokong pembangkang boleh dikenakan tindakan kerana melakukan kesalahan, maka penyokong kerajaan yang melakukan kesalahan serupa juga mesti tertakluk kepada undang-undang yang sama. Begitu juga sebaliknya. Jangan sampai timbul persepsi dalam kalangan masyarakat bahawa tindakan hanya diambil terhadap kelompok tertentu, sedangkan kelompok yang lain seolah-olah diberikan kebebasan untuk melakukan perkara yang sama.

Kementerian Komunikasi dan MCMC perlu memastikan semua aduan diteliti secara profesional, berdasarkan bukti dan peruntukan undang-undang yang berkaitan. Ketelusan dalam penguatkuasaan amat penting kerana masyarakat mahu melihat bahawa undang-undang benar-benar berfungsi untuk melindungi semua pihak, bukannya dijadikan alat untuk menjaga kepentingan politik mana-mana kelompok.

Pada masa yang sama, kita juga perlu membezakan antara kritikan politik dengan perbuatan yang melanggar undang-undang. Mengkritik dasar kerajaan, mempersoalkan keputusan pemimpin atau mendedahkan kelemahan pentadbiran merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat. Kritikan yang tegas tidak sepatutnya disamakan dengan fitnah atau ancaman. Apa yang perlu dibendung ialah penyalahgunaan kebebasan bersuara sehingga menjejaskan hak, keselamatan dan maruah orang lain.

Selain tindakan undang-undang, pendidikan tentang adab berkomunikasi juga perlu diperkasakan. Masyarakat, khususnya golongan muda, perlu dididik supaya tidak menganggap budaya mencarut, memaki hamun dan menghina orang lain sebagai sesuatu yang normal dalam perbincangan politik. Parti politik pula perlu memainkan peranan membimbing penyokong masing-masing agar lebih matang dan bertanggungjawab ketika berkempen, sama ada secara bersemuka mahupun melalui media sosial.

Hakikatnya, rakyat lebih memerlukan perbincangan tentang masalah kehidupan mereka berbanding pertengkaran yang tidak berkesudahan. Ketika kempen pilihan raya, calon dan parti politik sepatutnya memberikan tumpuan kepada isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Rakyat mahu mengetahui apakah perancangan yang ditawarkan, bagaimana sesuatu masalah hendak diselesaikan dan sejauh mana seseorang calon benar-benar mampu melaksanakan amanah yang diberikan.

Pilihan raya bukan pertandingan mencari siapa yang paling hebat memaki pihak lawan, sebaliknya medan untuk menentukan siapa yang paling layak memimpin dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Akhirnya, kita perlu sedar bahawa pilihan raya hanya berlangsung dalam tempoh tertentu, tetapi kehidupan bermasyarakat akan terus berjalan. Selepas keputusan diumumkan, kita masih tinggal di kawasan yang sama, bekerja bersama, berjiran dan menjalani kehidupan sebagai rakyat sebuah negara. Pemimpin boleh bertukar dan parti boleh menang atau kalah, tetapi hubungan persaudaraan dan keharmonian masyarakat tidak sepatutnya menjadi korban persaingan politik.

Justeru, berkempenlah dengan hujah, bukan dengan makian. Berbeza pandanganlah dengan matang, bukan dengan kebencian. Sokonglah mana-mana parti yang diyakini mampu membawa kebaikan, tetapi jangan sampai kesetiaan kepada parti menghilangkan pertimbangan akal dan kemuliaan akhlak. Jangan kerana terlalu ghairah mahu memenangkan parti, akhirnya kita sendiri kalah dari segi akhlak. Pilihan raya sepatutnya menentukan siapa yang layak memimpin, bukannya menjadikan rakyat saling bermusuhan. – UTUSAN

  • Prof. Dr. Mustaffa Abdullah ialah Pengarah Centre of Quranic Research (CQR), Universiti Malaya

The post Pilihan Raya medan demokrasi, bukan gelanggang mencaci appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved