Suara rakyat ke Pusat, ADUN PH boleh main peranan lebih berkesan

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 9:55 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Suara rakyat ke Pusat, ADUN PH boleh main peranan lebih berkesan

MELAKA: Pemilihan seorang calon dalam pilihan raya untuk mewakili suara rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak terhenti hanya sekadar proses demokrasi, sebaliknya turut menentukan laluan terhadap pembangunan lebih mampan di sesebuah kawasan.

Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 Sabtu ini, boleh memainkan peranan lebih besar sekiranya sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Adam Adli Abd. Halim berpandangan, seseorang ADUN harus berperanan lebih daripada ruang lingkup negeri iaitu menyuarakan kepentingan masyarakat ke peringkat tertinggi.

“Tak semestinya apabila ki­ta sebut menghantar wakil ke dalam DUN hanya tersekat kepada kena menang sebagai kerajaan. Kita ada sejarah panjang sama ada sebagai pembangkang atau pun sebagai kerajaan dan sebagainya.

“Yang kita belajar daripada pengalaman itu adalah per­spektif yang berbeza perlu ditawarkan dalam DUN mahupun dalam Parlimen, supaya kita boleh capai satu situasi di mana setiap sektor masyarakat ada perwakilan mereka.

“ADUN PH itu khidmatnya bukan hanya semata-mata untuk jadi pembantu atau penghubung kepada Persekutuan. Bagi saya, ADUN kepentingan utamanya adalah mewakili suara rakyat yang memilih mereka, tidak hanya untuk dilihat sebagai wakil kepada mana-mana blok,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Adam Adli berkata, sekiranya PH diberikan mandat sekali lagi untuk mentadbir Melaka, setiap ADUN perlu menggunakan semua medium yang ada untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

Katanya, isu-isu yang berkait dengan kesejahteraan keseluruhan rakyat perlu diberikan ke­utamaan untuk diselesaikan.

“Dari sudut infranya, program, dari sudut kebajikan. Malah kita juga harus tampil sebagai wakil masyarakat atau wakil rakyat yang turut memberikan perhatian dan fokus usaha-usaha terhadap pembangunan sosial masyarakat itu sendiri.

“Perlu pastikan bahawa kita boleh juga capai antaranya bagaimana untuk bentuk dasar-dasar ke hadapan berkait dengan peluang pekerjaan untuk anak muda, meningkatkan sektor pelancongan yang lebih menguntungkan rakyat berbanding hanya terhad kepada beberapa pemain utama dan sebagainya.

“Jadi, setiap ADUN perlu menggunakan apa sahaja kapasiti mereka untuk mewakili kepentingan-kepentingan yang berbeza ini. Maka, antara isu pertama atau isu utama yang harus diberikan perhatian tentu sekali adalah berkait dengan kesejahteraan secara keseluruhan rakyat di dalam kawasan masing-masing,” katanya.

Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah menganaktirikan mana-mana negeri, meskipun ia dipimpin oleh parti yang tidak sehaluan.

Katanya, tanggungjawab Persekutuan terhadap negeri adalah suatu kewajipan yang mesti dipenuhi selaras dengan hak-hak yang dijamin.

“Kerajaan Persekutuan ada tanggungjawab yang besar dalam memastikan setiap sektor dalam negara ini dapat dijaga dengan sebaik-baiknya. Termasuk pembangunan di peringkat negeri yang memerlukan kerjasama dengan kerajaan ne­geri.

“Tak kira siapa pun yang jadi kerajaan negeri, tanggungjawab Persekutuan itu kekal, sebagai yang memastikan agenda pembangunan dari segi ekonomi, infra, pendidikan dan sebagainya dapat diteruskan tanpa ada sebarang halangan.

“Ini dah dibuktikan contoh­nya bila mana kita tahu peruntukan-peruntukan daripada Pusat ini turun ke negeri-negeri tanpa ada sebarang prejudis ataupun diskriminasi,” katanya.

Melalui Belanjawan 2027, Melaka menerima beberapa peruntukan dan inisiatif pembangunan utama antaranya penubuhan Melaka Centre of Excellence bagi memacu pembangunan modal insan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteknologi tinggi.

Ini untuk melahirkan tenaga kerja mahir dengan tawaran gaji lebih baik. Selain itu, bagi pengurusan dan tebatan banjir, kerajaan Persekutuan memperuntukkan projek pemulihan sungai dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rambai.

Sebanyak RM154 juta lagi untuk menyelesaikan masalah banjir berulang melibatkan RTB Sungai Ayer Salak di daerah Me­laka Tengah.

Adam Adli berkata, wakil rakyat yang dipilih selepas ini perlu menjadi jambatan komunikasi antara rakyat dengan semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan bagi menjayakan inisiatif yang dirangka.

“Wakil Rakyat PH tidak ha­nya bertanggungjawab untuk melihat atau semata-mata di kawasan sendiri. Memang kita ada tanggungjawab sedikit le­bih yang bersandarkan kepada jambatan yang wujud antara mereka dengan kerajaan Persekutuan.

“Maka manfaatkan juga untuk pembangunan negeri secara keseluruhannya, bukan hanya melihat pada isu kawasan masing-masing sahaja. Sebab itu semangat memakmurkan Melaka ini harus ada kerjasama yang baik. Lepas pilihan raya, saya kira tanggungjawab semua orang adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.-UTUSAN

The post Suara rakyat ke Pusat, ADUN PH boleh main peranan lebih berkesan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved