
SHAH ALAM, 13 NOV: Belanjawan Selangor 2027 bukan bertujuan menjadi 'gula-gula pilihan raya', sebaliknya dirangka bagi memastikan setiap perancangan dan peruntukan memberi manfaat kepada rakyat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri menyedari setiap keputusan mempunyai implikasi politik, namun perkara itu tidak akan menjejaskan komitmen terhadap agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.
Menurutnya, pelaksanaan program serta pengumuman bantuan akan terus dilakukan tanpa mengira musim pilihan raya atau sebaliknya.
“Setiap keputusan kita sama ada Rancangan Selangor Pertama (RS-1), Rancangan Selangor Kedua (RS-2), pakej rangsangan ekonomi, atau hatta seperti pembentangan belanjawan ini sekali pun, memang akan memberikan impak politik.
“Musim pilihan raya atau tidak musim pilihan raya, memang tiap-tiap tahun kita akan umumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada penjawat awam.
“Musim pilihan raya atau tida musim pilihan raya, kita tetap juga akan umumkan beberapa program baharu yang nanti kita akan terangkan dalam belanjawan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara khas bersama Media Selangor sempena pembentangan Belanjawan Selangor 2027 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, baru-baru ini.
Dalam wawancara sama, Amirudin turut memberi bayangan mengenai pengumuman positif buat penjawat awam negeri menerusi belanjawan yang dijadual dibentangkan hari ini (13 Nov).
Tumpuan cabaran geopolitik, teknologi
Amirudin berkata Belanjawan Selangor 2027 turut memberi perhatian kepada beberapa anjakan besar, khususnya ketidaktentuan geopolitik dan perkembangan pesat teknologi termasuk keselamatan siber serta kecerdasan buatan (AI).
Menurutnya, perkembangan krisis antarabangsa yang berlaku jauh dari Malaysia tetap boleh memberi kesan tidak langsung terhadap kehidupan rakyat.
“Kita telah memasuki situasi krisis yang tidak nampak di depan mata dan krisis itu berlaku jauh daripada kita, tetapi ia memberi kesan kepada kita secara tidak langsung.
“Justeru, kita akan memberikan beberapa suntikan supaya rakyat dapat bertahan dalam menghadapi ketidaktentuan ini,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan perubahan iklim, kelestarian alam sekitar, pendidikan, tenaga mahir dan peralihan teknologi antara perkara yang diberi perhatian dalam penyediaan Belanjawan Selangor 2027.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 pada September lalu yang menghimpunkan pemegang taruh utama serta tokoh dalam bidang ekonomi dan pembangunan.






