Pilihan solar bagi bangunan kerajaan

LocalEnvironment
24 Sep 2026 • 8:49 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Pilihan solar bagi bangunan kerajaan

Kota Kinabalu: Semua bangunan milik Kerajaan Sabah yang berminat, bakal ditawarkan pemasangan teknologi tenaga solar bagi membantu mengurangkan penggunaan elektrik, dengan pelaksanaan dijangka bermula awal tahun depan.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah, Datuk James Ratib berkata, inisiatif itu antara usaha kerajaan negeri memperluas penggunaan teknologi hijau dalam pengurusan bangunan kerajaan, selain menjadi sebahagian daripada agenda pendigitalan dan pembaharuan perkhidmatan awam.

Katanya, kementeriannya bersedia menyediakan perkhidmatan pemasangan solar kepada mana-mana kementerian dan jabatan kerajaan negeri yang bersetuju, namun pelaksanaannya bukan sesuatu yang diwajibkan.

“Mana-mana jabatan kerajaan yang ingin bangunan mereka dipasang solar untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik, kita bersiap sedia untuk memasangnya.

“Ini bukan wajib, tetapi kementerian saya menyediakan perkhidmatan itu kepada mana-mana jabatan kerajaan yang berminat sebagai menyokong agenda pendigitalan perkhidmatan kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui selepas simbolik penyerahan 25 unit Smart TV kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Ariffin Arif, di Wisma Bandaraya, di sini, Rabu.

Mengulas lanjut, James berkata, penggunaan tenaga solar itu dijangka mampu mengurangkan kira-kira 10 peratus penggunaan elektrik, sekaligus membantu menjimatkan kos operasi bangunan kerajaan.

Menurutnya, sebagai langkah awal, sebanyak 24 perpustakaan di bawah KPSTI turut dirancang untuk dipasang sistem berkenaan.

“Sebanyak 24 perpustakaan di bawah kementerian saya akan dipasang solar dan ini boleh menjimatkan kos lebih kurang 10 peratus, di samping itu, kerajaan negeri juga akan mendapat hasil sebanyak 32 peratus yang akan dikembalikan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, James berkata, KPSTI turut mengemukakan cadangan kerjasama dengan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) bagi menyediakan billboard digital di lokasi strategik seluruh Sabah.

Katanya, tapak pemasangan billboard digital akan dikenal pasti dan dibincangkan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), manakala pengurusan serta kandungan billboard berkenaan akan diperincikan melalui kerjasama kedua-dua kementerian.

Menurutnya, kemudahan berkenaan bukan sahaja menjadi medium penyampaian maklumat secara lebih pantas dan berkesan, malah berpotensi membantu meningkatkan pendapatan PBT melalui aktiviti pengiklanan.

“Billboard ini digital yang sepenuhnya elektronik bukan menggunakan kertas. Dengan cara ini, kita tidak lagi perlu memasang iklan secara manual hingga kadangkala iklan lama masih tidak diganti, terpampang sampai sekarang.

“Sebaliknya, kaedah billboard digital ini lebih mudah sepenuhnya menggunakan elektronik. Jadi kita akan bekerjasama dengan PBT dan KKTP untuk mengenal pasti lokasi strategik bagi pemasangan kemudahan ini.

“Selain menambah pendapatan PBT, kita juga mahu memberi latihan kepada rakyat, khususnya kumpulan asnaf dan B40, supaya mereka mempunyai peluang pekerjaan termasuk dalam aspek pengurusan serta penyelenggaraan billboard,” katanya.

Mengenai kos projek solar dan billboard digital itu, James berkata ia di bawah peruntukan KPSTI dan buat masa sekarang, kedua-dua projek itu akan diperincikan Setiausaha Tetapi (SUT) KPSTI dan KKPT sebelum dimuktamad.

Mengenai penyerahan 25 unit Smart TV untuk diagihkan kepada 25 PBT seluruh Sabah, beliau berkata usaha itu merupakan antara inisiatif pendigitalan perkhidmatan PBT yang sudah tentu dapat memberi kemudahan secara langsung kepada masyarakat.

Pada masa sama, katanya, penggunaannya juga dapat memudahkan urusan kerja, mempercepat penyampaian maklumat serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan di peringkat PBT.

“Smart TV ini kita serahkan kepada KKTP dan terpulang kepada kementerian untuk mengagihkannya kepada semua majlis atau pejabat pentadbiran yang bersesuaian,” katanya.

James berkata, ketiga-tiga inisiatif berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan persiapan dan perbincangan lanjut dimulakan pada Oktober ini sebelum pelaksanaan lebih menyeluruh tahun depan.

Katanya, usaha itu selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ 2.0) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, khususnya dalam memperkukuh penggunaan teknologi serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Sementara itu, Ariffin menyambut baik usaha KPSTI berhubung penggunaan teknologi solar dan penyediaan billboard digital yang dilihat berpotensi memberi manfaat kepada PBT serta masyarakat.

Beliau berkata, pihaknya akan membincangkan lebih lanjut kedua-dua perkara berkenaan bersama KPSTI sebelum sebarang keputusan mengenai pelaksanaannya dibuat.

“Kita akan perincikan di peringkat kementerian dan SUT akan berbincang lanjut berhubung dua cadangan ini, iaitu billboard digital dan solar, termasuk berbincang bersama pegawai kementerian serta PBT dan mendapatkan pandangan mereka terlebih dahulu.

“Apa pun, kita sambut baik inisiatif ini kerana penggunaan teknologi ini juga selari dengan usaha pendigitalan kerajaan, selain berpotensi memudahkan urusan, mempercepat penyampaian informasi dan meningkatkan keberkesanan kerja di peringkat PBT serta kementerian,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved