
KUALA LUMPUR: Kerajaan menanggung hutang pentadbiran terdahulu termasuk bon 1Malaysia Development Berhad bernilai RM13 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kerajaan membuat hutang baharu bagi menampung perbelanjaan negara.
Sebaliknya, beliau berkata, jumlah hutang akan bertambah selagi belanjawan negara dalam defisit dan dibiayai melalui pinjaman.
Beliau yang juga Menteri Kewangan, berkata hutang juga bersifat terkumpul dengan pinjaman bersih tahun semasa menambah baki hutang tahun terdahulu yang belum dilunaskan.
Selain itu, katanya, Kerajaan mengambil alih pentadbiran dengan jumlah hutang sedia ada melepasi RM1 trilion dengan peningkatan mendadak hutang di antara 2020 hingga 2022 diperlukan akibat pandemik COVID-19.
“Pinjaman baharu di bawah Kerajaan adalah untuk membiayai pembangunan negara, termasuk sekolah, hospital, jalan raya serta bekalan air dan elektrik.
“Kita juga terpaksa memenuhi tanggungan kewangan diwarisi. Pada 2023 sahaja, RM13 bilion diperlukan untuk melunaskan bon 1MDB (1Malaysia Development Berhad),” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengenai alasan hutang negara belum dikurangkan ke paras lebih mapan serta sama ada kedudukan fiskal semasa memberi ruang kepada kerajaan melaksanakan intervensi bagi melindungi ekonomi dan kesejahteraan rakyat, jika konflik Asia Barat semakin meruncing.
The post Kerajaan tanggung hutang pentadbiran terdahulu appeared first on Utusan Malaysia.





