Pinjaman perniagaan berkembang 7.3 peratus pada Jun

LocalBusiness & Finance
5 Oct 2026 • 3:46 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pinjaman perniagaan berkembang 7.3 peratus pada Jun

PETALING JAYA: Pinjaman perniagaan terkumpul berkembang 7.3 peratus tahun ke tahun pada Jun 2026, jauh lebih tinggi berbanding pertumbuhan purata 4.1 peratus antara 2022 hingga 2025, disokong peningkatan pembiayaan modal kerja.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, perkembangan itu menunjukkan fungsi pengantaraan kredit dalam ekonomi domestik kekal berdaya tahan meskipun ketidaktentuan global meningkat susulan konflik di Asia Barat.

Katanya, dalam menghadapi kemungkinan konflik berlarutan, bank meningkatkan penelitian terhadap peminjam daripada sektor yang terjejas, selain mengekalkan amalan pemberian pinjaman dan pengambilan risiko secara berdisiplin.

“Langkah berkenaan lebih mencerminkan pelarasan penilaian risiko oleh institusi perbankan berbanding pengetatan kredit secara menyeluruh.

“Bank juga terus berhubung dengan peminjam secara proaktif serta menyediakan bantuan bersasar kepada perniagaan yang berdepan masalah kewangan sementara.

“Usaha itu turut disokong program Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta Kemudahan Bantuan Penstabilan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bank Negara Malaysia (BNM), yang membantu menyokong keupayaan pembayaran balik hutang dan akses pembiayaan bagi perniagaan terjejas,” katanya dalam artikel rencana bertajuk ‘Melangkaui Harga Minyak: Daripada Konflik Geopolitik kepada Risiko Kestabilan Kewangan.’

Dalam pada itu, BNM berkata, kedudukan kewangan isi rumah secara keseluruhannya kekal berdaya tahan, disokong keadaan pasaran buruh yang stabil.

“Langkah dasar domestik termasuk peningkatan bantuan tunai kerajaan dan penerusan subsidi bahan api turut membantu mengehadkan kesan kenaikan kos global terhadap harga pengguna dalam negara.

“Keadaan itu seterusnya membantu mengehadkan tekanan terhadap kuasa beli isi rumah serta keupayaan membayar balik hutang.

“Kualiti pinjaman isi rumah juga kekal secara umumnya stabil, walaupun terdapat sedikit peningkatan dalam beberapa ukuran tekanan pembayaran balik,” ujarnya.

Berdasarkan penunjuk tunggakan bayaran bulanan (MIA), nisbah MIA 2 dan MIA 3 yang mencerminkan tekanan pembayaran balik lebih serius meningkat sedikit, manakala nisbah MIA 1 menyederhana dengan ketara dalam tempoh sama.

“Keadaan itu menunjukkan belum berlaku peningkatan masalah pembayaran balik baharu secara menyeluruh dalam kalangan isi rumah.

“Peningkatan nisbah MIA 2 dan MIA 3 berlaku merentasi semua kumpulan pendapatan, namun lebih ketara dalam kalangan peminjam berpendapatan rendah yang lazimnya mempunyai penampan kewangan lebih terhad.

“Permintaan terhadap bantuan pembayaran balik pula kekal secara umumnya stabil, dengan pinjaman di bawah bantuan pembayaran balik bank dan Program Pengurusan Kredit AKPK merangkumi 1.8 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan.

“Angka itu tidak berubah berbanding Mac 2026. Secara keseluruhan, perkembangan tersebut memberikan bukti terhad bahawa konflik di Asia Barat telah memberi kesan ketara terhadap keupayaan isi rumah untuk membayar balik hutang,” jelasnya. – UTUSAN

The post Pinjaman perniagaan berkembang 7.3 peratus pada Jun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved