Pintu masuk utama pelawat ke pulau

LocalTravel
9 Sep 2025 • 1:18 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengadakan pra-pelancaran Jeti Pelancong baharu yang bakal menjadi pintu masuk utama pelawat ke gugusan pulau popular berhampiran bandar raya ini.

Diuruskan DBKK menerusi anak syarikatnya, DBKK Holdings Sdn Bhd, jeti tersebut akan berfungsi sebagai pusat pelepasan utama ke pulau-pulau dalam Taman Tunku Abdul Rahman — Manukan, Sapi, Mamutik, Gaya dan Mengalum — yang terkenal dengan pantai serta khazanah marin.

Mayor Datuk Dr Sabin Samitah, berkata jeti itu direka bentuk bagi meningkatkan standard pelancongan marin Kota Kinabalu.

“Pulau-pulau ini adalah khazanah pelancongan Sabah. Dengan adanya Jeti Pelancong DBKK, kita memastikan setiap pelawat menikmati pengalaman yang lebih baik, selamat dan berkualiti,” katanya ketika merasmikan Majlis Pra-Pelancaran Operasi Jeti Pelancong DBKK dan Majlis Menandatangani Watikah Pelantikan Ejen Kutipan Hutang DBKK Holdings Sdn Bhd di sebuah hotel.

DBKK berkata projek itu memberi manfaat kepada pelancong dan pengusaha bot dengan menyediakan kemudahan yang lebih selamat dan teratur, selain sistem operasi yang lebih adil serta efisien. Pengusaha bot dijangka memainkan peranan penting dalam menjayakan pelaksanaannya.

“Saya faham pengusaha bot menghadapi pelbagai cabaran, daripada kos penyelenggaraan, isu keselamatan hinggalah persaingan pasaran.

“Menyedari hakikat itu, DBKK bertekad menyokong usaha mereka dengan menyediakan kemudahan bersepadu, sistem operasi lebih cekap serta peraturan yang adil dan telus,” kata Sabin.

Majlis itu turut menyaksikan penandatanganan watikah pelantikan ejen kutipan hutang DBKK Holdings Sdn Bhd. Inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh tadbir urus kewangan syarikat bagi memastikan kutipan hasil lebih sistematik dan telus untuk menyokong projek strategik seperti jeti tersebut.

Acara itu menandakan permulaan era baharu dalam pelancongan marin Kota Kinabalu.

DBKK yakin dengan kerjasama erat antara pengusaha bot, agensi pelancongan dan masyarakat, industri pelancongan marin Sabah akan terus berkembang serta memberi manfaat kepada semua pihak.