PIS pilih calon berketurunan Filipina, Indo dan parti pertama lancar manifesto awal

LocalPolitics
13 Oct 2025 • 4:43 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Parti Impian Sabah (PIS) menjadi parti pertama yang melancarkan manifesto menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang, dengan menggariskan 14 ikrar utama bagi memastikan kekayaan semula jadi Sabah dinikmati oleh semua rakyat.

Calon-calonnya turut merangkumi individu yang mempunyai keturunan Filipina dan Indonesia.

Presidennya Michel Alok berkata meskipun Sabah memiliki limpahan sumber alam, kekayaan itu tidak dirasai oleh rakyat sendiri sebaliknya dinikmati oleh pihak luar dan pemimpin lampau yang korup.

Tegasnya visi PIS ialah untuk memulihkan keadilan dan integriti dalam pentadbiran, sambil mendakwa bahawa parti itu adalah satu-satunya di Sabah yang telah mengangkat sumpah antirasuah di hadapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jika diberi mandat kami akan pastikan kekayaan Sabah dapat dirasai oleh setiap rakyat Sabah. Semua janji parti ini berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri dan boleh dilaksanakan tanpa bergantung pada dana persekutuan,” katanya.

Parti yang berusia dua tahun itu mengenal pasti 70 calon dan menjangka akan bertanding di semua 73 kerusi. Barisan calon terdiri daripada gabungan golongan muda, pertengahan dan veteran, tanpa mana-mana bekas wakil rakyat ‘kitar semula’.

Turut disenaraikan beberapa calon wanita serta wakil daripada 11 kumpulan etnik, termasuk mereka yang berketurunan Indonesia dan Filipina.

Dalam ucapannya, Michel turut berkata pembaharuan ekonomi akan menjadi tumpuan utama PIS.

“Kami mahu mengubah bentuk ekonomi semasa yang seperti segitiga di mana kumpulan terbesar iaitu B40 berada di bawah, menjadi bentuk berlian dengan memperluas kelas pertengahan dan meningkatkan golongan T20 sambil mengurangkan B40,” katanya.

Mengenai kerjasama politik, Michel mendedahkan sudah bertemu dengan empat presiden parti tempatan namun enggan menamakan mereka.

Beliau berkata pertemuan itu bertujuan memupuk kerjasama selepas pilihan raya bagi menyatukan parti-parti tempatan Sabah demi merealisasikan aspirasi rakyat.

“Saya beritahu mereka bahawa selepas pilihan raya, tidak kira apa keputusannya, kita harus duduk semeja dan bekerjasama untuk memenuhi impian rakyat Sabah.

“Ini bukan soal membentuk gabungan atau berkongsi ideologi, tetapi bekerja bersama demi kepentingan Sabah,” katanya.

Michel berkata PIS menyasarkan majoriti dua pertiga, sambil menambah, sentimen rakyat kini semakin cenderung kepada “pemimpin baharu yang bersih serta budaya politik yang segar.”Beliau turut mengulas seruan agar lebih ramai calon muda diketengahkan, dengan menegaskan bahawa usia bukan ukuran kepada integriti atau keupayaan kepimpinan.

“Usia muda tidak semestinya bermakna seseorang itu mampu memimpin atau merealisasikan impian rakyat. Ada juga pemimpin berusia yang berintegriti, berjiwa besar dan mempunyai hati untuk memperjuangkan aspirasi anak muda. Apa yang paling penting ialah keikhlasan dan visi, bukan umur,” katanya.

Tegasnya lagi walaupun PIS mendukung semangat “Sabah untuk Sabahan”, parti itu tetap komited terhadap keterangkuman dalam Malaysia.

“Keutamaan mesti diberikan kepada rakyat Sabah dalam pekerjaan dan peluang perniagaan namun kita juga harus mengakui bahawa kita sebahagian daripada keluarga besar Malaysia.

“Semua pemimpin politik Sabah mesti berusaha ke arah merealisasikan impian rakyat, yang lama tertangguh selama 60 tahun,” katanya.