Jeffrey ikrar ubah hala tuju Star

LocalPolitics
8 Oct 2025 • 10:07 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: “Cukup sudah, sampai bila Sabah harus diperintah, dipecah-belahkan dan dijadikan bahan ketawa?” Itulah laungan tegas Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, yang berikrar untuk mengubah hala tuju parti selepas lima Ahli  Dewan Undangan Negerinya (Adun) keluar daripada parti itu.

Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada Selasa, Jeffrey berkata lima Adun berkenaan telah membuat keputusan mereka sendiri dan Star tidak akan menghalang mereka.

“Mereka sudah buat keputusan. Saya tidak halang kerana mereka tahu pendirian yang patut diambil,” katanya.

“Kalau mereka tidak lagi mendengar suara rakyat atau menghormati sentimen rakyat, biarlah rakyat yang menentukan nasib mereka.”Jeffrey berkata kepimpinan Star akan bermesyuarat hari ini (Rabu) untuk menentukan status rasmi lima Adun terbabit dan membincangkan siapa yang akan menggantikan mereka.

Lima Adun diberi masa seminggu buat keputusan“Saya beri mereka seminggu untuk buat keputusan,” katanya.

“Ramai yang sudah bersedia mengambil alih. Mungkin inilah masa yang sesuai untuk membawa masuk pejuang muda yang setia dan menyegarkan semula parti.”Beliau berkata langkah seterusnya bagi Star akan dipandu oleh suara rakyat, bukan berdasarkan gabungan politik.

“Kami terbuka untuk bekerjasama, tetapi pilihan raya kali ini mesti diperjuangkan atas sentimen rakyat ‘Sabah untuk Orang Sabah, Keadilan untuk Sabah’.

“Ini tanah kita dan kita mesti menjaganya. Selama 62 tahun kita diketawakan walaupun negeri kita kaya.” Ditanya sama ada Star akan bertembung dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pilihan raya negeri akan datang, Jeffrey berkata:“Dalam mana-mana pilihan raya, kuasa di tangan rakyat. Mereka yang tentukan. Jadi ya, pertembungan itu perkara biasa, itulah demokrasi.”Beliau mengesahkan bahawa Star akan bertanding di 33 kerusi, sama seperti parti-parti utama lain dan memberi bayangan bahawa kerusi yang sebelum ini diwakili oleh mereka yang keluar parti akan diberikan kepada calon baharu yang lebih komited.

Beliau menafikan spekulasi bahawa tindakan keluar parti oleh lima Adun itu mencerminkan ketidakpuasan hati akar umbi, dengan menjelaskan bahawa keputusan Star keluar daripada GRS dibuat kerana mendengar suara akar umbi.

“Kami keluar GRS kerana kami dengar suara rakyat, di kedai kopi, dalam talian, di mana-mana,” katanya.

“Kami tidak boleh menentang sentimen rakyat. Mereka yang akan tentukan siapa yang betul selepas pilihan raya.”Mengenai kerjasama Star dengan Parti Maju Sabah (SAPP), Jeffrey berkata pakatan itu kekal kukuh.

“Sudah tentu, ini pasukan kami sejak awal. Pembahagian kerusi sudah selesai, semuanya stabil. Perjuangan ini sudah lama,” katanya.

Ditanya sama ada Star terbuka untuk bekerjasama dengan parti pembangkang tempatan lain termasuk Warisan atau gerakan “Gelombang Hitam”, Jeffrey tidak menolak kemungkinan itu.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita sepatutnya bersatu dengan parti tempatan lain. Lihat saja Sarawak, apabila mereka bersatu, mereka menjadi kuat dan mendapat apa yang mereka mahukan. Itulah kuasa perpaduan. Siapa kata Sabah tidak boleh buat perkara yang sama?” katanya.